KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Sambutan Maal Hijrah Tahun 1447H/2025M di lapan negeri dan di ibu negara hari ini disemarakkan dengan pelbagai pengisian bermakna antaranya ceramah, bacaan ayat suci al-Quran dan penyampaian anugerah kepada individu khususnya yang banyak mencurah jasa kepada agama dan negara.
Di ibu negara, hampir 8,000 hadir termasuk kontinjen daripada kementerian, jabatan serta agensi kerajaan dan perwakilan asing di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pagi ini bagi acara kemuncak sambutan itu.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat menyempurnakan majlis pada 9.30 pagi.
Turut berangkat ke majlis itu anakanda Seri Paduka Baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Kabinet.
Dalam titah Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda menzahirkan peringatan tegas kepada pemimpin masyarakat agar tidak menjadikan agama Islam sebagai alat politik demi kepentingan peribadi.
Sultan Ibrahim antaranya bertitah Islam perlu dijadikan asas termasuk urus tadbir negara yang berpaksikan nilai, keadilan dan ihsan selaras dengan prinsip syariat Islam yang lengkap dan sempurna merangkumi seluruh aspek kehidupan.
Pada majlis itu Seri Paduka Baginda turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada bekas Mufti Johor Datuk Dr Nooh Gadot yang diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1447H/2025M.
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M mengangkat tema ‘Membangun Ummah MADANI', yang menyeru umat Islam supaya mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW untuk membina masyarakat yang lebih bertamadun, inklusif dan seimbang daripada segi kerohanian serta fizikal di samping membina negara MADANI.
Di PAHANG, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Keberangkatan baginda pada 9 pagi diiringi isterinya Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dan disambut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Pada majlis berkenaan, Tengku Muhammad turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada mantan Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil dan trofi penghargaan.
Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam, kepimpinan negeri serta lebih 3,000 muslimin dan muslimat hadir pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka 1447H/2025M yang diadakan di Masjid Al-Hakeem, Kampung Tehel malam tadi.
Pada majlis itu, Datuk Azmar Talib menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Melaka 2025.
Menerima anugerah Abu Bakar As-Siddiq, anak jati kelahiran Masjid Tanah berusia 65 tahun itu berkata sehingga kini masih banyak idea dan ilham yang mahu beliau kongsikan bagi membangunkan ekonomi umat Islam di Melaka terutama melibatkan golongan asnaf.
Beliau merupakan antara 12 Tokoh Maal Hijrah 1447H/2025M yang terpilih atas jasa dan sumbangan mereka dalam memperkasa pembangunan umat Islam di negeri ini, dengan penerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq menerima pakej umrah bernilai RM10,000 dan wang tunai RM10,000 manakala 11 tokoh lain masing-masing menerima Pakej Kembara Ilmiah bernilai RM3,000 serta wang tunai RM3,000.
Di KEDAH Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah supaya semua rakyat di negeri ini meneladani semangat dan nilai murni yang ditunjukkan dalam peristiwa hijrah bagi menghadapi cabaran semasa seperti keruntuhan moral, gejala sosial dan perpecahan institusi keluarga.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah di Alor Setar hari ini. Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Di SABAH sambutan Maal Hijrah peringkat Sabah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, dihadiri kira-kira 5,000 orang bagi menghayati semangat hijrah dan perjuangan Rasulullah SAW, yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Sambutan Maal Hijrah tahun ini menyaksikan tokoh politik yang bergiat aktif sejak 1986 hingga 2008 dan pernah menggalas peranan sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Datuk Datu Amir Kahar Datu Mustapha, dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah peringkat negeri bagi kategori lelaki dan membawa wang RM20,000, trofi dan sijil.
Bagi tokoh Maal Hijrah kategori wanita pula, bekas pengamal media bergiat aktif sebagai pembaca berita, juruhebah serta penerbit rancangan sekitar 1973 hingga 1978 Datuk Seri Norsuadah Basah merangkul anugerah itu dan membawa wang RM20,000, trofi dan sijil.
Di JOHOR Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata tema sambutan "Membangun Ummah Maju Johor" merupakan cerminan hasrat kerajaan negeri untuk memacu pembangunan yang meliputi keseluruhan aspek.
“Kerajaan Johor percaya bahawa kemajuan tidak akan bermakna jika rakyatnya hilang arah dan longgar nilainya.
"Sebab itu, usaha membangun ummah mesti seiring dengan pembangunan negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1447H/2025M, di Pusat Islam Iskandar hari ini.
Di TERENGGANU sambutan Maal Hijrah 1447/2025 disambut sederhana, diketuai oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan di Wisma Darul Iman.
Turut berangkat Tengku Sri Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Mu'az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra' yang disambut Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tengku Muhammad Ismail bertitah agar semua umat Islam menjadikan semangat hijrah sebagai asas dalam membentuk masyarakat Islam yang progresif, berilmu dan berakhlak tinggi.
Pada majlis itu baginda turut menyampaikan hadiah kepada pemenang 15 kategori termasuk Tokoh Maal Hijrah Datuk Dr Ghazali Ahmad yang merupakan pakar perunding Nefrologi dan Ketua Jabatan Pengurusan Penyakit Bersepadu (IDMD) Institut Jantung Negara (IJN).
Sementara itu di PULAU PINANG sambutan Maal Hijrah juga berlangsung secara sederhana namun meriah di Dewan Mutiara Hotel Raia di Bayan Lepas, dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib.
Tun Ramli dalam ucapannya berkata tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu "Membangun Ummah MADANI" amat bertepatan dengan semangat hijrah iaitu bukan sekadar bersifat fizikal tetapi merangkumi perubahan nilai, pemikiran dan tindakan ke arah masyarakat berakhlak mulia.
Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid serta pemimpin kerajaan negeri.
Di SARAWAK, Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru umat Islam di negeri ini untuk menjadi pencetus idea, pemikir strategik serta penggerak perubahan.
“Marilah kita memperbaharui azam dan tekad, menghayati makna hijrah yang sebenar. Semoga tahun baharu Hijrah ini menjadi detik permulaan kepada usaha gigih, semangat perubahan dan kecintaan terhadap negara dan agama.
“‘Ummah Maju Makmur’ dan ‘Sarawak Maju Makmur’ bukan sekadar tema dan slogan, tetapi amanah dan cita-cita kita bersama,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Majlis Perhimpunan Maal Hijrah 1447H/2025M peringkat Sarawak di Dewan Suarah Bintulu.
Majlis yang dihadiri 1,200 pengunjung turut menyaksikan 17 anugerah diberikan sempena sambutan itu, antaranya Anugerah Kepimpinan Organisasi, Anugerah Pegawai Awam Islam, Anuegrah Pegawai Awam Bukan Islam, Anugerah Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia Cemerlang dan Anugerah Keluarga.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta barisan pemimpin negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial