FOKUS BERNAMA

Tangani Krisis Obesiti Kanak-Kanak Tuntut Peranan Kolektif Semua Pihak

28/07/2025 12:42 PM

L aporan empat bahagian ini mengupas permasalahan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di negara ini meliputi punca, kesan dan penyelesaian bagi menanganinya. Artikel ini yang terakhir.

Selepas menelusuri kisah sebenar, cabaran kesihatan serta kesan emosi dan mental akibat obesiti dalam kalangan kanak-kanak, perhatian kini beralih kepada langkah-langkah yang sedang dan perlu diambil bagi membendung krisis ini daripada terus membarah.

Isu obesiti hakikatnya bukan sahaja melibatkan soal pemakanan dan gaya hidup, malah memerlukan penyelesaian bersepadu yang merentas sektor, daripada dasar kesihatan awam kepada penguatkuasaan di peringkat komuniti.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak bawah 18 tahun menunjukkan trend membimbangkan dengan peningkatan daripada 11.9 peratus pada 2015 kepada 14.8 peratus pada 2019, dan kekal tinggi pada 14.3 peratus pada  2022.

Statistik terkini NHMS 2024 juga menunjukkan kadar obesiti kanak-kanak dan remaja berumur lima hingga 19 tahun masih tinggi iaitu 13.6 peratus, sekali gus membuktikan bahawa isu ini belum berjaya ditangani sepenuhnya.

Sebagai peneraju kesihatan negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalas peranan besar dalam menangani perkara ini namun pada masa sama turut menuntut kerjasama pelbagai pihak dalam memikul tanggungjawab itu secara kolektif.

 

TETAPKAN WAKTU MAKAN

Berkongsi pandangan, Ketua Jabatan Dietetik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Rokiah Ismail berkata pelan pemakanan yang seimbang dan kaya dengan nutrien penting bagi memastikan kanak-kanak berkembang dengan sihat, aktif dan mempunyai tahap tenaga yang optimum, selain mampu menyokong pertumbuhan, perkembangan otak serta memastikan sistem imun mereka berfungsi dengan baik.

Mengakui amat sukar untuk hadkan pengambilan makanan bergula, bergoreng dan makanan tidak sihat kepada kanak-kanak, terutamanya makanan yang dipromosikan di televisyen atau tular di media sosial, beliau berkata perkara itu boleh dilakukan melalui beberapa pendekatan, antaranya mendidik anak sedari awal akan kesan buruk pengambilan makanan tidak sihat.

“Ketika menonton televisyen bersama-sama anak, ibu bapa secara tidak langsung boleh menerangkan kepada mereka kebaikan dan keburukan makanan yang diiklankan.  

“Tetapkan waktu makan yang khusus setiap hari, dengan cara ini kanak-kanak tidak akan berasa terlalu lapar atau cenderung memilih makanan ringan yang tidak sihat antara waktu makan,” katanya, menambah penglibatan kanak-kanak dalam penyediaan makanan boleh menjadikan mereka lebih menghargai makanan yang dimasak sendiri.

Akur bahawa bukan mudah untuk menggalakkan kanak-kanak obes bersukan serta menjalani gaya hidup sihat, Dr Rokiah menyarankan agar ibu bapa dan pihak sekolah mewujudkan persekitaran menyokong seperti menjalankan pelbagai aktiviti menyeronokkan secara konsisten.

“… fokus pada keterlibatan (kepuasan) dan bukan keputusan (menjadi juara) serta menjadi contoh teladan kepada kanak-kanak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

PBT AMBIL TINDAKAN

Sementara itu, susulan laporan Bernama dalam bahagian tiga obesiti kanak-kanak bertajuk “Obesiti Ganggu Emosi, Jejas Kesejahteraan Mental Kanak-Kanak” yang melaporkan ada penjaja menjual makanan dan minuman yang tidak sihat kepada murid-murid di luar pagar sekolah, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Negeri Sembilan tampil menjelaskan perkara itu kepada Bernama.

pic-2

(Dalam siri tiga Bernama menjalankan tinjauan di beberapa buah sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bagi melihat sendiri dakwaan penjualan makanan tidak sihat kepada murid-murid sekolah dan mendapati bukan setakat gula-gula, makanan ringan dan makanan segera seperti sosej, nuget serta ais krim, bahkan air berkarbonat pelbagai perisa dan warna turut dijual di luar pintu pagar sekolah).

Datuk Bandar MBS Datuk Masri Razali berkata pihaknya menjalankan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penjaja di luar kawasan sekolah mengikut peruntukan Seksyen 80 Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil Penjaja 1980.

Beliau berkata pemantauan dijalankan berdasarkan isu kacau ganggu awam, halangan di tempat awam dan aktiviti penjajaan tanpa kebenaran. Antara tindakan yang diambil ialah pengeluaran notis arahan berpindah, notis kesalahan dan kompaun serta sitaan barang niaga sekiranya perlu.

“Setiap aktiviti perniagaan yang dijalankan di kawasan pentadbiran MBS, sama ada di tempat awam atau kawasan persendirian perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada MBS. Lesen atau permit perniagaan yang dikeluarkan akan disertakan dengan syarat-syarat tertentu seperti penetapan zon yang dibenarkan untuk aktiviti penjajaan.

“MBS mengambil maklum mengenai Garis Panduan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman Tidak Sihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan KKM. Namun begitu, garis panduan tersebut masih belum diterima pakai secara rasmi oleh MBS buat masa ini.

“Pada ketika ini, penguatkuasaan terhadap penjaja di luar kawasan sekolah hanya dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja 1980 dan peruntukan-peruntukan lain yang berkuat kuasa,” jelasnya.

 

ADUAN RAKYAT PENTING

Mengulas lanjut Masri berkata pada masa ini MBS sedang menimbang antara keperluan penguatkuasaan dan hak warga tempatan untuk menjana pendapatan melalui aktiviti penjajaan.

Beliau berkata bagi penjaja warganegara Malaysia, tindakan penguatkuasaan lazimnya dimulakan dengan pemberian notis arahan berpindah ke tapak penjaja yang telah disediakan oleh MBS.

“Tetapi sekiranya aktiviti penjajaan tersebut melibatkan risiko terhadap kesihatan awam atau keselamatan, tindakan akan ditingkatkan melalui notis kesalahan berserta kompaun dan sitaan akan dilaksanakan jika perlu.

“Bagi penjaja bukan warganegara, MBS mengambil pendekatan tanpa kompromi dan akan menjalankan tindakan sitaan serta-merta tanpa sebarang notis awal, selaras dengan dasar penguatkuasaan sedia ada dan keperluan kawalan berisiko tinggi.

“Buat masa ini, MBS tidak menetapkan secara khusus jenis barang yang boleh dijual oleh pemilik lesen penjaja sebaliknya kawalan hanya dilakukan berdasarkan kategori aktiviti penjajaan yang dibenarkan seperti makanan, minuman, aksesori dan lain-lain tertakluk kepada zon yang diluluskan,” katanya.

Dalam isu yang dilaporkan Bernama, beliau berkata MBS menerima aduan daripada orang awam berkaitan aktiviti penjajaan makanan tidak sihat di depan sekolah sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Menurut beliau, bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan, MBS telah menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terlibat bagi menangani isu ini secara menyeluruh.

pic-3

“Tindakan penguatkuasaan terdahulu seperti pemberian notis dan pengeluaran kompaun didapati kurang berkesan untuk menghentikan aktiviti penjajaan haram di lokasi tersebut. Sehubungan itu, satu bentuk peringatan secara visual dan langsung telah dilaksanakan dengan pemasangan kain rentang larangan menjaja di depan pagar sekolah.

“Langkah ini bertujuan memberi amaran terakhir kepada penjaja agar berniaga hanya di kawasan yang dibenarkan dan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya arahan tersebut tidak dipatuhi.

“Kain rentang itu juga berfungsi sebagai peringatan kepada ibu bapa dan pelajar supaya bersama-sama mematuhi peraturan dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan serta menghormati undang-undang tempatan,” katanya, menambah sebarang aduan, pertanyaan dan cadangan boleh disalurkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MBS mbseremban.spab.gov.my atau muat turun secara percuma Aplikasi Respon Rakyat atau boleh hubungi talian 06-7654444.

Tinjauan Bernama ke lokasi sama pada minggu lepas mendapati tiada lagi kelibat penjaja di depan sekolah berkenaan selain terdapat kain rentang berhubung larangan dan peringatan yang dinaikkan oleh MBS. 

 

KKM LAKSANA PELBAGAI INISIATIF

Meskipun nasihat dan saranan pakar, tindakan penguatkuasaan seperti larangan penjajaan dan kerjasama dengan komuniti setempat dapat membantu mengawal persekitaran makanan tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak, penyelesaian jangka panjang menuntut campur tangan menyeluruh yang dipacu oleh dasar kesihatan awam negara.

Dalam hal ini, KKMlah yang menjadi tonggak utama sebagai peneraju dalam membentuk ekosistem pengurusan obesiti secara holistik, bermula dari peringkat pencegahan hingga ke rawatan klinikal.

Kementerian itu berkata, KKM membangun dan melaksanakan Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman di Luar Pagar Sekolah  yang dikuatkuasakan pada 13 Julai 2012.

“Pelaksanaan garis panduan larangan penjualan makanan tidak sihat di luar kawasan sekolah ini adalah salah satu intervensi persekitaran yang penting dalam menyokong usaha kerajaan mengurangkan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

“Garis panduan ini bertujuan mengawal akses murid kepada makanan tidak berkhasiat yang dijual di luar kawasan sekolah, yang dikenal pasti sebagai salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan masalah obesiti kanak-kanak,” kata kementerian itu, menambah pelaksanannya dijalankan dengan kerjasama PBT dan dipantau oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menurut KKM, kementerian itu telah membangunkan satu ekosistem pengurusan obesiti negara yang merangkumi pelbagai strategi pencegahan dan pengurusan, bermula dari populasi umum, populasi berisiko tinggi hingga populasi obesiti klinikal, selaras dengan Pelan Pecutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Menghentikan Obesiti.

pic-4

“Pendekatan ini meliputi intervensi di semua peringkat bermula dari pencegahan primordial, primer, sekunder hingga tertier yang bertujuan membentuk persekitaran sihat, mencegah peningkatan kes baharu obesiti serta menyediakan rawatan dan pengurusan yang berstruktur bagi mereka yang memerlukan.

“Di peringkat pencegahan primordial dan primer, fokus diberikan kepada membentuk persekitaran yang menyokong agar masyarakat tidak terdedah kepada faktor risiko obesiti sejak awal,” kata kementerian itu.

Dasar dan intervensi yang dilaksanakan termasuklah pelaksanaan cukai minuman bergula yang diperkenalkan pada 2019 melibatkan minuman sedia diminum dan pracampuran.

Di samping itu, pelaksanaan Logo Pilihan Lebih Sihat sejak 2017 dan pelancaran kempen ‘War on Sugar’ pada 29 Jun tahun lepas oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut menjadi antara inisiatif utama dalam kawalan faktor risiko obesiti.

 

AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT

Kementerian itu berkata usaha mempromosi gaya hidup sihat turut diperkukuhkan melalui pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bermula pada 2020. ANMS merupakan satu gerakan nasional yang bertujuan membudayakan amalan hidup sihat melalui kempen komunikasi, penglibatan komuniti dan penyediaan persekitaran yang menyokong.

“Di bawah Teras 2 ANMS, penyampaian perkhidmatan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti diperluaskan melalui penubuhan Wellness Hub. Intervensi pengurusan berat badan merupakan antara pakej perkhidmatan utama yang ditawarkan di 33 Wellness Hub yang beroperasi di seluruh negara.

“Data 2020-2024 menunjukkan seramai 14,671 orang telah menyertai intervensi pengurusan berat badan di Wellness Hub dan 77 peratus (9,075) peserta intervensi ini berjaya menurunkan berat badan melebihi satu kilogram, manakala 16 peratus dapat menurunkan 10 peratus daripada berat badan asal di akhir intervensi,” kata kementerian itu.

Bagi populasi berisiko tinggi, individu yang dikesan akan dirujuk ke fasiliti kesihatan dan komuniti untuk pengurusan lanjut termasuk intervensi perubahan gaya hidup, pengurusan berat badan dan pemantauan faktor risiko kesihatan secara berterusan.

Menurut KKM, hingga 2025, terdapat 793 lokaliti Program Komuniti Sihat, Pembina Negara (KOSPEN) di seluruh negara dengan penyertaan 7,662 sukarelawan yang berperanan sebagai ejen kesihatan komuniti.

“Program ini memfokuskan kepada pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD), promosi pemakanan sihat dan aktiviti fizikal. Melalui penglibatan komuniti dewasa, KOSPEN membantu membentuk persekitaran keluarga dan komuniti yang menyokong amalan gaya hidup sihat, sekali gus memberi kesan tidak langsung kepada kanak-kanak di peringkat isi rumah,” kata kementerian itu.

Media baru-baru ini turut melaporkan Malaysia masih tersenarai sebagai negara dengan prevalens diabetes tertinggi di Asia Tenggara, merekodkan satu daripada enam rakyatnya menghidap penyakit itu, satu situasi yang tidak menghairankan apabila diambil kira kadar obesiti, iaitu antara faktor penyumbang diabetes. 

NHMS 2023 menunjukkan peningkatan prevalens berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia, iaitu dari 50.1 peratus pada 2019 kepada 54.5 peratus (2023).

 

INTERVENSI KHUSUS OBESITI KANAK-KANAK

Bagi menangani isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak secara khusus, KKM melaksanakan pelbagai program bersasar di peringkat institusi pendidikan.

pic-5

Sejak 2018, KKM melaksanakan program Health Promotion in Learning Institutions (HePiLI) sebagai platform promosi kesihatan di institusi pendidikan dari prasekolah hingga peringkat institusi pengajian tinggi.

Kata kementerian itu skop HePiLI merangkumi pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan amalan gaya hidup sihat untuk membudayakan kesihatan dalam kalangan pelajar.

“Di bawah HePiLI, Kelab Doktor Muda merupakan komponen utama di sekolah rendah dan menengah, di mana pelajar dilatih sebagai ejen rakan sebaya bagi menyampaikan mesej kesihatan berkaitan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal.

“Program ini dilaksanakan secara meluas melibatkan 6,076 buah taska/tadika melalui program Tunas Doktor Muda serta 3,530 buah sekolah rendah dan 900 buah sekolah menengah di seluruh negara,” jelas kementerian itu.

KKM turut melaksanakan pelbagai intervensi khusus melalui penubuhan Jawatankuasa Taskforce Menangani Masalah Obesiti di Malaysia serta pelaksanaan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023–2030, melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Menerusi Pelan ini, KKM telah menetapkan sasaran untuk menurunkan kadar berlebihan berat badan kanak-kanak bawah lima tahun kepada tiga peratus menjelang tahun 2030, berbanding kadar semasa enam peratus yang direkodkan dalam NHMS 2022.

Sementara itu, bagi kanak-kanak berumur lima hingga 17 tahun, Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia III (NPANM III) 2016–2025 pula menetapkan sasaran untuk mengekalkan kadar obesiti dan berat badan berlebihan pada kadar asas tahun 2015 tanpa sebarang peningkatan.

Kadar asas itu ialah umur lima hingga sembilan tahun (obesiti 14.8 peratus, berat badan berlebihan 12.0 peratus); 10 hingga 14 tahun (obesiti 14.4 peratus, berat badan berlebihan 16.0 peratus); dan 15 hingga 17 tahun (obesiti 9.6 peratus, berat badan berlebihan 14.4 peratus).

“Antara inisiatif khusus yang sedang dijalankan ialah Polisi dan Aktiviti Menangani Obesiti Kanak-Kanak. Pelaksanaan dasar dan aktiviti bagi menangani masalah obesiti melalui Policy Options To Combat Obesity in Malaysia bermula pada 2016 yang telah ditambah baik menjadi Reviewed Policy Options to Combat Obesity in Malaysia (2021-2025) dengan 60 peratus tumpuan pelaksanaannya pada setting yang melibatkan kanak-kanak seperti sekolah dan taska. 

”Inisiatif yang dilaksanakan di sekolah antaranya ialah Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) bagi memastikan murid hanya menerima makanan yang berkhasiat semasa rehat. Pelaksanaan HiTS sepenuhnya (tanpa penjualan makanan lain di kantin) membantu mengurangkan risiko pengambilan makanan berlebihan dan berupaya menangani isu penjualan makanan tidak berkhasiat di kantin sekolah,” kata kementerian itu.

 

1,000 HARI PERTAMA KEHIDUPAN

KKM antara lain sedang menjalankan inisiatif 1,000 Hari Pertama Kehidupan yang menyasarkan kumpulan ibu hamil hingga kanak-kanak berumur dua tahun sebagai antara langkah pencegahan masalah obesiti dan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.

“Tempoh ini dianggap sebagai fasa emas dalam perkembangan kanak-kanak, di mana pemakanan dan penjagaan kesihatan yang optimum mampu memberikan kesan jangka panjang terhadap kesihatan mereka.Tumpuan diberikan kepada aspek pemakanan dan kesihatan yang menyeluruh sejak awal kehamilan.

“Melalui inisiatif ini, penyusuan susu ibu dan aspek pemakanan semasa hamil, semasa menyusu dan pemakanan bayi dan kanak-kanak diperkukuhkan. Dalam masa sama inisiatif Healthy Eating Responsibility for Women (HER) juga dilaksanakan bagi menyokong dan memperkukuhkan inisiatif 1,000 Hari Pertama Kehidupan dalam usaha memerangi beban berganda malpemakanan,” kata kementerian itu, menambah inisiatif HER bertujuan mencegah dan mengawal masalah pemakanan terutamanya masalah obesiti dan anemia dalam kalangan wanita umur reproduktif (15 hingga 49 tahun) ke arah melahirkan generasi yang sihat di masa depan.

Inisiatif lain yang dijalankan ialah memperkasa Jurulatih Utama (JU) Cara Hidup Anda Terbaik (C-HAT) yang dilantik daripada ahli PIBG bagi menjalankan aktiviti pemakanan dan kesihatan di sekolah untuk memerangi masalah obesiti di sekolah dan penyebaran maklumat pemakanan sihat kanak-kanak secara meluas melalui penggunaan platform media sosial terutamanya melalui pakar pemakanan KKM.

“Selain itu KKM turut menjalankan saringan kesihatan termasuk pemantauan berat badan melalui Pasukan Kesihatan Sekolah. Kanak-kanak yang dikenal pasti mengalami masalah berat badan seperti obesiti akan dirujuk ke klinik kesihatan untuk rawatan dan intervensi selanjutnya,” menurut kementerian itu.

 

NAIK CUKAI MINUMAN BERGULA

KKM pada masa sama menjalankan pemantauan penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah sejak 2012 berdasarkan Senarai Makanan dan Minuman Yang Dilarang Dijual di Sekolah yang dikeluarkan oleh KPM.

pic-6

“Daripada 905 buah sekolah yang dipantau oleh KKM pada 2024, sebanyak 678 buah atau 74.9 peratus didapati mematuhi senarai berkenaan. KPM akan memberi peringatan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah yang didapati gagal mematuhi perkara itu,” jelas kementerian itu. 

Menurut KKM, pengenaan cukai terhadap minuman bergula yang telah dimulakan pada 2019 menunjukkan pengurangan pengambilannya dalam kalangan remaja, iaitu daripada 36.9 peratus (NHMS 2017) kepada 16.4 peratus (Kajian Penilaian Impak dan Keberkesanan Pengenaan Cukai Terhadap Minuman Manis Bergula Di Malaysia, 2022).

NHMS 2022: Tinjauan Kesihatan Remaja menunjukkan penurunan prevalen pengambilan minuman berkarbonat (sekurang-kurangnya sekali sehari) iaitu daripada 36.9 peratus pada tahun 2017 kepada 32.4 peratus pada 2022.

Oleh itu, kementerian itu berkata, “KKM yakin kadar cukai sedia ada iaitu RM0.90 seliter wajar dinaikkan bagi mencapai pengurangan pengambilan minuman bergula yang mampu memberikan impak signifikan dalam memerangi masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Walaupun ketika ini KKM memfokuskan pengenaan cukai bagi minuman tidak sihat memandangkan kajian yang dijalankan menunjukkan pengambilan gula rakyat Malaysia (dewasa dan kanak-kanak) adalah tinggi, terutamanya daripada minuman manis, kementerian itu tidak menolak untuk mengkaji dan menimbang pengenaan cukai terhadap makanan pada masa akan datang sekiranya pihak industri masih tidak menambah baik produk mereka kepada yang lebih sihat seperti kurang gula, garam dan lemak serta mengandungi lebih nutrien.

Menurut WHO, cukai kesihatan dikenakan ke atas produk yang mempunyai impak negatif ke atas kesihatan awam seperti tembakau, alkohol dan minuman bergula.

Cukai-cukai ini dianggap sebagai dasar menang-menang-menang kerana dapat menyelamatkan nyawa dan mencegah penyakit sambil memajukan kesaksamaan kesihatan serta menjana hasil untuk belanjawan umum.

Matlamat dasar cukai kesihatan ialah mengurangkan penggunaan produk yang dianggap sebagai faktor risiko bagi penyakit tidak berjangkit dengan menjadikannya kurang mampu milik melalui kenaikan harga. Ini dicapai melalui kenaikan cukai secara berkala yang cukup besar untuk menghasilkan kenaikan harga sebenar melebihi pertumbuhan ekonomi.

Cukai eksais merupakan langkah cukai paling berkesan untuk mempromosikan kesihatan kerana ia mengubah harga produk berbahaya berbanding barangan lain dan boleh dinaikkan dengan mudah dari semasa ke semasa.

 

GARIS PANDUAN IKLAN 

Pada Oktober 2024, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Dewan Rakyat Suhaizan Kaiat berkata Akta Pemakanan Malaysia akan digital untuk mengawal nutrisi makanan rakyat khususnya kanak-kanak.

pic-7

Bernama pada 24 Mei lepas melaporkan KKM sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan selepas kertas cadangan mengenainya diluluskan oleh Jemaah Menteri. Bagaimanapun, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan di Parlimen tahun ini. 

Berhubung bagaimana KKM membendung isu iklan makanan segera yang saban hari tular dan menyasarkan golongan kanak-kanak, kementerian itu berkata Garis Panduan Pengiklanan dan Pelabelan Maklumat Pemakanan Makanan Segera sejak 2008 harus dijadikan rujukan oleh industri makanan segera, agensi pengiklanan dan badan penyiaran dalam mengiklankan dan melabelkan maklumat pemakanan produk mereka.

“Garis panduan itu melarang pengiklanan makanan segera semasa rancangan kanak-kanak di televisyen selain rancangan kanak-kanak di televisyen dilarang ditaja oleh industri makanan segera. Garis panduan ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran rakyat untuk mengubah tingkah laku kepada amalan lebih sihat, terutama dari segi tabiat pemakanan.

“Selain itu, KKM juga sedang menimbang inisiatif kawalan pengiklanan makanan dan minuman yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula termasuk makanan segera untuk dilaksanakan secara mandatori, melibatkan semua platform media tempatan dan antarabangsa termasuk media digital,” jelas kementerian itu.

Tambah KMM  lagi, dalam aspek rawatan, ia telah menambah baik pengurusan klinikal obesiti dengan menyediakan intervensi farmakoterapi dan bukan farmakoterapi untuk individu yang memerlukan. Transformasi sistem kesihatan turut dilaksanakan melalui pengesanan awal, intervensi berpasukan serta penggunaan teknologi digital.

“Secara keseluruhan, KKM mengamalkan pendekatan ‘keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat’ dalam menangani isu obesiti,” jelas kementerian itu. 

Kesimpulannya, perjuangan menentang obesiti kanak-kanak bukan hanya terletak di bahu kerajaan, PBT, ibu bapa, sekolah dan guru atau pakar perubatan semata-mata sebaliknya tanggungjawab kolektif masyarakat khususnya pemain industri sendiri dalam mencipta persekitaran yang menyokong kesihatan dan kebajikan generasi masa depan negara.

Memetik WHO, intervensi pengurusan NCD adalah penting untuk mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan penyakit itu.

Laporan akhir empat bahagian ini menutup tirai dengan seruan bahawa, masa depan generasi muda khususnya kanak-kanak tidak sepatutnya dikaburi oleh statistik obesiti. Kini tiba masanya untuk semua pihak memainkan peranan dan tanggungjawab yang lebih besar, dengan lebih serius dan berkesan agar krisis obesiti kanak-kanak di negara ini dapat ditangani sebaiknya.

[Artikel ini dihasilkan di bawah Program Media Fellowship “Komunikasi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD)” anjuran Probe Media Foundation Inc. (PMFI), Reporting ASEAN (RA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini tidak semestinya mencerminkan pandangan PMFI, RA dan WHO.]

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan