AM

Wanita Warga Tempatan Ditahan Cuba Seludup Masuk Produk Kesihatan

28/07/2025 06:29 PM

PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Seorang wanita warga tempatan ditahan kerana disyaki cuba menyeludup masuk empat produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengandungi racun berjadual di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan penahanan wanita berkenaan membawa kepada rampasan produk yang bernilai RM4,460.

Menurut AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merujuk produk berkenaan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM pada 3.30 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua produk kesihatan berkenaan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan disyaki mengandungi racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan tindakan lanjut merangkumi proses pelucuthakan dan pelupusan barangan tersebut dan siasatan lanjut ke atas wanita berkenaan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“AKPS tidak berkompromi dengan mana-mana pihak cuba menyeludup masuk barangan terlarang yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan awam,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, AKPS telah menyerahkan barangan rampasan dianggarkan bernilai RM32,986 membabitkan tujuh barangan bernilai RM2,640 pada Januari, 18 barangan bernilai RM25,116 (Mac) dan tujuh barangan bernilai RM5,230 (Julai).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan