SEPANG, 20 Julai (Bernama) -- Tiada unsur sabotaj atau serangan siber dikesan setakat ini sebagai punca gangguan sistem pagar automatik (autogate) untuk pelawat asing, kata Ketua Pengarah (KP) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Beliau berkata isu itu disyaki berpunca daripada gangguan integrasi data antara Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan pangkalan data keselamatan sebuah agensi penguat kuasa antarabangsa yang menyebabkan proses semakan silang menjadi perlahan.
“Perkara itu (serangan siber) kita tidak lihat lagi pada masa ini. Biar kami lakukan kerja kami dan mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata kesemua sistem pagar automatik untuk pelawat asing yang terjejas sebelum ini kini kembali beroperasi sepenuhnya.
Beliau berkata pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku akibat gangguan sistem berkenaan dan berusaha memastikan perkara itu tidak berulang lagi.
Gangguan sistem pagar automatik dilaporkan berlaku sejak Jumaat lepas dan berlarutan sehingga petang semalam.
Kesesakan dan barisan menunggu yang panjang dilaporkan di beberapa lokasi utama termasuk KLIA Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.
Susulan itu, AKPS telah mengambil langkah mitigasi bagi melancarkan aliran pelawat termasuk pengaktifan semua kaunter manual dan penugasan anggota tambahan di pintu-pintu masuk terjejas.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor mendapati pergerakan keluar dan masuk berjalan lancar serta tiada masalah kesesakan berlaku seperti semalam, berikutan dua sistem pagar automatik (e-gate) mengalami gangguan sejak Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh ketika dihubungi berkata gangguan sistem pagar automatik berjaya dipulihkan sejak pukul 10 malam tadi.
Sementara itu, warga Singapura Narziah Shakor, 55, berkata gangguan itu menyebabkan ramai pengguna mengalami kesukaran, malah ada yang terpaksa berdiri lama.
Narziah yang berasal dari Bedok berkata anaknya melarang dia untuk ke Johor semalam selepas tersebar laporan mengenai kesesakan teruk yang menyebabkan ramai ‘terkandas’ sehingga lebih tiga jam.
“Alhamdulillah hari ini semua pulih dan tiada masalah cuma semalam agak teruk... ramai yang terpaksa berdiri lama hingga tiga empat jam,” katanya yang bertugas sebagai penjawat awam di Singapura.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial