Oleh Zufazlin Baharuddin
HELSINKI, 9 Okt (Bernama) -- Solar Foods dari Finland berharap pendekatan inovatifnya dalam menghasilkan Solein, protein "diperbuat daripada udara nipis," melalui penapaian gas akan memberi inspirasi kepada negara lain untuk menggunakan kaedah yang lebih mampan dalam pengeluaran makanan.
Pengarah Jenama dan Pemasaran Solar Foods Laura Sinisalo berkata pendekatan syarikat teknologi makanan Finland itu menunjukkan bagaimana inovasi boleh menyokong matlamat kelestarian dengan menawarkan penyelesaian berpotensi kepada ketidakjaminan makanan global, pada masa sama mengurangkan penggunaan tanah dan air.
“Saya harap kami boleh menjadi inspirasi kepada orang lain kerana Solar Foods dapat menunjukkan kemampanan dalam pengeluaran makanan.
"Terdapat peningkatan permintaan dan peraturan untuk syarikat dan kerajaan mengambil tindakan supaya kita tidak kehilangan biodiversiti dan alam semula jadi. Saya berharap Solar Foods boleh menawarkan sekurang-kurangnya satu jenis penyelesaian untuk isu berkenaan," katanya kepada wartawan Bernama yang menghadiri program media "Penyelesaian Iklim dari Finland" di sini.
Syarikat pemula niaga itu dilaporkan telah membuka dunia baharu dalam kepelbagaian makanan menerusi teknologinya.
Solein menggunakan tenaga elektrik boleh baharu untuk mengasingkan air kepada hidrogen dan oksigen dan menyalurkan hidrogen, karbon dioksida terhasil daripada udara dan mineral kepada bakteria pengoksida hidrogen dalam bioreaktor.
Seterusnya, mikroorganisma itu menghasilkan protein, serat dan lemak sihat yang membentuk Solein.
Serbuk kekuningan mengandungi serat berkhasiat dan kaya dengan mikronutrien penting seperti zat besi dan vitamin B12 dengan profil asid amino yang kuat, ia boleh digunakan sebagai ramuan dalam produk makanan daripada alternatif tenusu kepada bar protein (snek seperti coklat).
Semasa lawatan ke Solar Foods, wartawan dihidangkan pelbagai hidangan disediakan dengan Solein oleh Chef Finland Miikka Manninen.
Menu termasuk sup cendawan chanterelle, roti, pasta, keju krim dan ais krim dengan Solein sebagai bahan utama.
Melangkah ke depan, Sinisalo berkata Solein dijangka memasuki pasaran Kesatuan Eropah (EU) menjelang tahun depan, Solar Foods menjangkakan ia akan dapat kelulusan Novel Food daripada Suruhanjaya Eropah, selepas membuat mempromosikannya buat kali pertama di Singapura pada 2022 dan Amerika Syarikat pada 2024.
Di EU, Makanan Baharu (Novel Food) adalah istilah undang-undang dan peraturan merujuk kepada makanan belum pernah digunakan untuk kegunaan manusia pada tahap yang signifikan di EU sebelum 15 Mei, 1997.
Peraturan itu bertujuan untuk memastikan sumber makanan dan kaedah pengeluaran yang baharu adalah selamat untuk pengguna sebelum ia dibenarkan untuk dijual di pasaran EU.
Solar Foods diasaskan pada 2017.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial