Oleh Thivyamalini Ramalu
BANGI, 9 Okt (Bernama) -- Wawasan Nuklear Malaysia 2030 (WNM 2030) diperkukuh melalui pelaksanaan dasar strategik berteraskan nilai profesionalisme, inovasi dan tanggungjawab sosial, kata Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin.
Beliau berkata sebagai agensi peneraju teknologi nuklear negara, Nuklear Malaysia komited memastikan setiap langkah yang digariskan dalam wawasan itu serta inisiatif pembangunan teknologi nuklear dilaksanakan selaras dengan dasar sains dan teknologi, termasuk dasar berkaitan teknologi nuklear, agar ia dapat diperincikan, diperkemas dan ditransformasikan secara menyeluruh dalam jangka pendek dan panjang.
“Seluruh daya usaha dan kreativiti warga Nuklear Malaysia akan digembleng ke arah merealisasikan hala tuju wawasan berkenaan. Kekuatan nilai sepunya yang kami rumuskan melalui akronim N.U.C.L.E.A.R. dengan moto ‘Nuklear Untuk Rakyat’, Insya-Allah akan membuahkan hasil,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Huruf N merujuk kepada Novelty, U (Ubiquitous), C (Commitment), L (Leadership), E (Empathy), A (Attitude) dan R (Respect).
Untuk rekod, Nuklear Malaysia mempunyai lebih 300 penyelidik dengan kepakaran khusus dalam pelbagai bidang rentas berkaitan sains dan kejuruteraan termasuk reaktor nuklear.
WNM 2030 merupakan dokumen strategik yang menggariskan visi Nuklear Malaysia pada masa hadapan dan menyediakan hala tuju jangka panjang yang jelas, dan menyatukan semua aktiviti agensi itu.
Dokumen itu merangkumi teras strategik, strategi pelaksanaan, aktiviti, penunjuk dan sasaran bagi tempoh 2021 hingga 2030, serta menyokong pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN) yang dilancarkan pada 2023.
Mengulas mengenai potensi tenaga nuklear di Malaysia, Muhammad Rawi berkata negara kini meneliti semula potensi sumber tenaga itu memandangkan tenaga nuklear memainkan peranan penting dalam pendekatan peralihan tenaga, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
“Langkah ini adalah strategi jangka panjang untuk mempelbagaikan sumber tenaga bersih dan mampan. Buat masa ini, kita masih bergantung kepada bahan api fosil yang menyumbang kepada pelepasan karbon tinggi.
“Tenaga nuklear menawarkan alternatif yang lebih bersih dan stabil, sejajar dengan komitmen negara ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, serta menepati aspirasi pelaburan dalam industri baharu muncul seperti pendigitalan rakyat dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau menjelaskan, tenaga nuklear berupaya menjana tenaga dalam jumlah besar dengan penggunaan bahan api yang kecil, menjadikannya cekap dan sesuai bagi menyokong permintaan tenaga negara yang semakin meningkat.
“China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), misalnya, kini menikmati manfaat teknologi tersebut walaupun beroperasi di kawasan padang pasir yang luas,” katanya.
Tidak seperti tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin yang bergantung kepada keadaan cuaca, tenaga nuklear mampu membekalkan tenaga secara konsisten dan berterusan, satu kelebihan penting bagi sektor perindustrian berprestasi tinggi dalam era teknologi baharu muncul ini.
“Dari segi kos, memang benar kos permulaan pembinaan loji nuklear adalah tinggi. Namun, dalam jangka panjang, kos operasinya lebih stabil kerana harga bahan api nuklear lebih konsisten berbanding bahan api fosil. Tambahan pula, kemajuan teknologi reaktor kini menjadikan tenaga nuklear lebih fleksibel serta sesuai dilaksanakan dalam skala lebih kecil dan tersasar,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diberi mandat untuk membangunkan kerangka undang-undang serta peraturan berkaitan pelaksanaan tenaga nuklear di negara ini.
Aktiviti pembangunan teknologi nuklear di Malaysia tertakluk kepada Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) dan pengawasannya dilakukan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Malaysia turut terikat dengan perjanjian antarabangsa seperti Treaty on the Non-Proliferation of Nuclear Weapons (NPT) dan Comprehensive Nuclear-Test-Ban Treaty (CTBT).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial