DUNIA

Penerbangan Antara Malaysia-China Dijangka Meningkat Susulan Permintaan Tinggi - Duta

09/10/2025 10:33 PM

Daripada Rohani Ibrahim

BEIJING, 9 Okt (Bernama) -- Penerbangan terus antara Malaysia dan beberapa wilayah di China dijangka meningkat bagi menampung permintaan perjalanan yang semakin tinggi, kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Beliau berkata pelaksanaan kemudahan pengecualian visa antara Malaysia dan China yang berkuat kuasa pada 17 Julai 2025 telah memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat dan menjadi pemangkin penting menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“China merupakan pasaran penting bagi Malaysia dalam sektor pelancongan,” katanya ketika berucap merasmikan promosi Flavour of Malaysia @ The Balcony di Hotel Grand Hyatt Beijing di sini, Khamis.

Menurut Norman, pada 2024 Malaysia mencatat peningkatan ketibaan pelancong China sebanyak 123 peratus berbanding 2023.

Pertumbuhan ini disokong oleh 465 penerbangan mingguan yang menghubungkan 27 bandar di Malaysia dan China, peningkatan ketara berbanding 357 penerbangan mingguan sebelum pandemik, katanya.

Mengenai promosi Flavour of Malaysia, Norman berkata keindahan sebenar makanan Malaysia terletak pada kepelbagaian rasanya.

“Daripada masyarakat Melayu, Cina, India hinggalah kepada komuniti Sabah dan Sarawak, setiap kelompok membawa cita rasa unik mereka sendiri ke meja hidangan,” katanya.

Menurut beliau kepelbagaian rasa ini bersatu menjadi hidangan yang mencerminkan keunikan masyarakat berbilang kaum Malaysia, menjadikan makanan sebagai lambang perpaduan negara.

Melalui promosi anjuran Hotel Grand Hyatt dengan sokongan Kedutaan Besar Malaysia di China itu, dua cef dari Grand Hyatt Kuala Lumpur, Asaari Johari dan Nurul Shuhada Abdul Hamid, diterbangkan khas ke Beijing untuk menyediakan hidangan tradisional Malaysia.

Asaari ketika ditemui berkata masyarakat China amat menggemari masakan pedas Malaysia dan beliau berasa bangga dapat menyediakan hidangan tersebut untuk peminat makanan Malaysia di Beijing.

Nurul Shuhada pula berkata beliau memastikan semua hidangan disediakan menggunakan bahan asli yang dibawa terus dari Malaysia, termasuk petis udang untuk sambal rojak.

Promosi Flavour of Malaysia yang bermula hari ini akan berlangsung sehingga 30 Okt, dengan sajian masakan Malaysia disediakan untuk makan tengah hari dan makan malam di Grand Hyatt Beijing.

Antara hidangan Malaysia yang disajikan termasuk sup ekor berempah, udang galah masak lemak, rendang kambing, kerapu harimau berlada, ayam masak merah, pajeri nanas dan onde-onde.

Majlis pelancaran promosi turut dimeriahkan dengan persembahan silat, tarian Borneo serta nyanyian lagu joget dan zapin oleh kakitangan Kedutaan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan