KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan bantuan terhadap misi kemanusiaan bagi membela nasib rakyat Palestin.
Sani Araby yang juga Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) berkata dukungan itu turut menjadi kekuatan bagi aktivis Malaysia menyertai misi pelayaran Global Sumud Flotilla 2025 ke Gaza.
“Sebelum kita memulakan pelayaran, kami sangka Perdana Menteri akan menolak kerana misi ini kelihatan mustahil.
“Namun, selepas meneliti cadangan itu, beliau hanya berkata satu perkataan, iaitu proceed (teruskan). Itulah kekuatan yang menjadi permulaan kepada misi ini,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam ini.
Beliau turut berkongsi keprihatinan Perdana Menteri terhadap keselamatan aktivis Malaysia dengan sering kali meminta perkembangan terkini sepanjang mereka berada di lapangan.
“Beliau turut berhubung secara langsung dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan untuk mendapat sokongan antarabangsa bagi membebaskan sukarelawan kita selepas ditahan oleh tentera Israel,” katanya.
Dalam ucapannya, Sani Araby turut mencadangkan supaya gelombang kedua misi bantuan kemanusiaan ke Gaza digerakkan melalui Mesir, dengan sokongan dan kebenaran Perdana Menteri.
“Saya mohon izin Datuk Seri agar kumpulan Sumud Nusantara Malaysia dapat diatur gerak ke bumi Mesir untuk menghantar bantuan gelombang kedua ke Gaza.
“Kami tahu Datuk Seri mempunyai hubungan yang luar biasa dengan Presiden Mesir dan mampu memainkan peranan yang tidak terjangkau oleh kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata pelayaran Global Sumud Flotilla telah membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap komitmen rakyat Malaysia dalam memperjuangkan kemanusiaan global.
Beliau berkata terdapat negara yang mengeluarkan kenyataan rasmi menyokong Global Sumud Flotilla telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menggerakkan inisiatif kemanusiaan seterusnya ke Gaza.
“Mereka percaya kepada Sumud Nusantara dan mahu kita memimpin pergerakan seterusnya, let’s all do it the Malaysian and Nusantara way (marilah kita semua lakukannya mengikut cara Malaysia dan Nusantara),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial