AM

Misi FFC X TTMG: Kerajaan Usaha Segerakan Bawa Pulang Rakyat Malaysia - Mohamad Hasan

09/10/2025 01:34 AM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Wisma Putra telah menghubungi Turkiye dan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Christopher Landau sebagai usaha menyegerakan pembebasan sembilan aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens To Gaza (FFC x TTMG) yang ditahan tentera Israel.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena Bukit Jalil di sini malam ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita akan berusaha (membebaskan sembilan aktivis) kalau boleh secepat mana yang telah berjaya kita bantu bebaskan 23 aktivis Malaysia yang sertai Global Sumud Flotilla (yang turut ditahan Israel sebelum ini),” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Datuk Seri Prof Dr Kamal Nasharuddin Mustapha memaklumkan kesemua sembilan kapal misi kemanusiaan FFC x TTMG telah dirampas secara haram oleh Israel termasuk yang membawa sembilan sukarelawan Malaysia pada 10.50 pagi waktu Malaysia.

Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.

Turut berada di atas kapal sama Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala seorang lagi doktor perubatan, iaitu Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan Malaysia akan terus bersuara memperjuangkan kemerdekaan Palestin di pentas antarabangsa.

“Malaysia akan terus menekan supaya bumi Palestin yang merdeka ditubuhkan segera. Semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu banyak negara menyatakan sokongan dan iktiraf negara Palestin merdeka.

“Kita yakin tidak lama lagi Palestin yang merdeka akan diwujudkan bila-bila masa dengan segera,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan