SHAH ALAM, 8 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki disiasat kerana membuat laporan polis palsu mendakwa disamun yang disyaki bertujuan untuk mengelakkan denda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi penggantian MyKad baharu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin berkata suspek berusia 23 tahun itu membuat laporan 5.03 petang semalam, antara lain mendakwa barang yang disamun ialah wang tunai, kad pengenalan, kad bank dan telefon bimbit jenis Iphone 13.
"Dalam laporan itu, suspek memaklumkan disamun dua lelaki menaiki motosikal di Jalan Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor. Namun, siasatan mendapati kejadian itu tidak berlaku dan laporan berkenaan dibuat dipercayai untuk mengelak membayar denda kepada JPN," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azaharudin berkata siasatan turut mendapati barangan lain iaitu kad bank, lesen memandu dan juga telefon bimbit jenis sama yang dilaporkan hilang masih ada di dalam simpanan lelaki berkenaan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan orang ramai diingatkan agar tidak membuat laporan palsu atau bakal berdepan tindakan undang-undang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial