AM

Kerajaan Gubal RUU Berkaitan Jenayah Siber, Tangani Ketidaksepadanan Undang-undang Sedia Ada

07/10/2025 01:32 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedang menggubal rang undang-undang berkaitan jenayah siber sebagai sebahagian usaha membanteras jenayah itu di Malaysia, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. 

Beliau berkata ketidaksepadanan antara undang-undang sedia ada dengan realiti semasa dikenal pasti sebagai isu paling kritikal yang menjejaskan keberkesanan tindakan pihak berkuasa dalam menangani sindiket jenayah siber. 

Shamsul Anuar berkata banyak peruntukan undang-undang dianggap tidak cukup tegas atau sudah lapuk terutama apabila berdepan dengan teknik penipuan yang semakin canggih.

“Lebih membimbangkan, tiada satu akta menyeluruh yang khusus menangani jenayah siber rentas sempadan menyebabkan banyak kes gagal untuk dibicarakan atau ditangani secara tuntas.

“Di samping itu, hukuman yang dijatuhkan kadangkala terlalu ringan, tidak memberi impak pencegahan yang efektif kepada pelaku mahupun sindiket lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang ingin tahu faktor kelemahan penguatkuasaan sehingga Malaysia kini dilihat menjadi destinasi pilihan sindiket scammer antarabangsa termasuk kes terbaharu melibatkan lebih 400 orang yang ditahan di Bangsar South.

Shamsul Anuar berkata keterbatasan daripada segi kepakaran teknikal dan sumber manusia dalam kalangan pasukan forensik digital dan penguatkuasaan siber turut menjadi penghalang besar kerana ramai anggota penguat kuasa masih belum cukup mahir untuk menangani teknologi baharu digunakan scammer seperti rangkaian persendirian maya (VPN), spoofing dan platform komunikasi yang dienkripsi. 

“Selain itu, infrastruktur pemantauan dan keselamatan siber negara masih belum setanding dengan negara maju, menjadikan pengesanan dan tindak balas terhadap ancaman digital agak perlahan serta tidak menyeluruh,” katanya. 

Berikutan itu, beliau berkata kerajaan telah meminda beberapa peruntukan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan (Akta 574) khususnya berkaitan penipuan kewangan melibatkan penggunaan akaun keldai, yang merangkumi penambahan peruntukan seperti Seksyen 42D bagi kesalahan memiliki, mengawal atau menggunakan kad ATM, kad kredit dan sebarang instrumen pembayaran.

Shamsul Anuar juga berkata usaha kerajaan membanteras jenayah siber turut merangkumi kerjasama serantau.

Beliau berkata pada 2022, lima kerjasama bersama negara jiran seperti Singapura, Australia dan Taiwan telah membawa penangkapan lebih 30 mangsa melalui kes love scam dan penipuan tawaran kerja. 

“Bagi 2023, sebanyak tiga kerjasama melibatkan Singapura dan Taiwan, juga kes sama, dan tangkapan seramai 21 orang.

Shamsul Anuar berkata pada 2024 pula, 10 individu telah ditahan yang melibatkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa Taiwan dan Singapura berkaitan kes penipuan pelaburan.

“Pada tahun ini, PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah melaksanakan empat operasi bersepadu dengan Singapura, Indonesia dan China dengan jumlah tangkapan 45 orang.

"Ini menunjukkan bahawa jenayah ini tidak terhad dalam negara, dan turut melibatkan luar negara,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan