KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan mengalu-alukan sebarang pendekatan atau pembaharuan berhubung semakan semula elaun pengetua dan guru besar, yang ketika ini masing-masing RM300 dan RM200.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata hal ini kerana kadar elaun semasa dilihat antara faktor utama menghalang minat dalam kalangan guru untuk menyertai kursus Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) sekali gus menyumbang kepada masalah kekurangan pemimpin sekolah.
“Kami pun ada mendengar berkenaan dengan pandangan daripada pihak pendidik sekolah bahawa ia (elaun) mungkin merupakan satu daripada faktor yang membataskan atau menyebabkan kekurangan minat (menyertai kursus NPQEL).
“Namun kadar elaun ini sememangnya ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam penggredan dan juga penskiman sedia ada… pada ketika ini kedua-dua elaun itu masih kekal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang ingin tahu sama ada KPM bersedia menyemak semula elaun atau insentif diberikan kepada pengetua supaya dapat menarik minat guru berpotensi untuk mengikuti kursus NPQEL.
Bagaimanapun, Wong berkata profesion kepimpinan sekolah bukan jawatan semata-mata, sebaliknya amanah dan tanggungjawab besar dalam memastikan kelangsungan sistem pendidikan negara.
Menjawab soalan asal Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang ingin tahu sama ada KPM bersedia melonggarkan syarat dan keperluan menghadiri kursus NPQEL bagi mengatasi kekurangan pengetua di sekolah menengah bantuan kerajaan, beliau berkata pihaknya telah meningkatkan pengambilan peserta NPQEL kepada 1,652 orang pada tahun ini, jumlah tertinggi sejak 2021.
“KPM komited untuk memastikan jawatan pengetua dan guru besar di semua sekolah, tidak kiralah sekolah kerajaan ataupun sekolah bantuan kerajaan diisi oleh individu berkelayakan dan juga berwibawa.
“Justeru, keperluan untuk memenuhi syarat-syarat sedia ada, termasuklah berkaitan dengan kursus NPQEL adalah relevan dan penting dalam menyediakan pemimpin pendidikan yang berkualiti bagi sekolah masing-masing,” katanya sambil menambah NPQEL kekal sebagai syarat utama sebelum seseorang guru dilantik sebagai pengetua.
Menjawab soalan tambahan Ngeh mengenai kekurangan pengetua di sekolah mubaligh dan sekolah conforming (sekolah menengah jenis kebangsaan), Wong berkata prinsip maximum consultation diguna pakai untuk lantikan pengetua di sekolah jenis itu melibatkan kerjasama dengan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS).
“Apabila kita ada prinsip maximum consultation, maka penting bagi LPS untuk memastikan calon yang hendak dihantar ke NPQEL itu adalah bersedia iaitu dengan pengalaman, dengan syarat tiga tahun pengalaman pentadbiran serta syarat-syarat am dan khas lain. Kami sedia menyediakan slot mencukupi bagi latihan NPQEL,” katanya.
Selain itu, beliau berkata daripada 122 sekolah menengah mubaligh, hanya enam yang masih mengalami kekosongan jawatan pengetua, dengan tiga daripada sekolah terbabit sudah mempunyai calon yang sedang memangku atau bakal menamatkan NPQEL tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial