KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memilih kontraktor baharu bagi menyiapkan projek Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) Pulau Mabul, Semporna dengan keputusan dijangka dibuat pada mesyuarat Lembaga Pemulihan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 16 Okt ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kementerian dan kerajaan negeri akan bekerjasama dengan JKR bagi memastikan pembinaan bangunan utama, penempatan anggota serta jeti dapat disiapkan oleh kontraktor yang dilantik.
“Saya nak maklumkan bahawa kelewatan penyiapan projek berpunca daripada kelewatan pembinaan jeti dengan prestasi sebenar kosong peratus berbanding jadual sepatutnya 11 peratus.
“Hal ini disebabkan oleh kelewatan kerja ukur tanah laut bagi tujuan pewartaan, namun proses itu telah diselesaikan pada 22 Jun 2023,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 bagi KDN di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kelewatan itu turut menyebabkan peningkatan kos sebanyak RM28.7 juta dan KDN telah memutuskan untuk menggunakan peruntukan daripada pembatalan projek Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah Fasa 2 di Sandakan dan Malawali bagi menampung kos berkenaan.
Shamsul Anuar berkata kontraktor asal ditamatkan pada September 2023 selepas audit mendapati tiada aktiviti pembinaan di tapak berikutan ketiadaan pekerja sejak Jun tahun sama, walaupun beberapa surat peringatan telah dikeluarkan oleh pasukan penyelia perunding sebelum tindakan penamatan kontrak diambil.
Beliau berkata mekanisme pemantauan projek turut ditambah baik dengan penglibatan wakil kementerian dan kerajaan negeri dalam setiap mesyuarat tapak, pemantauan berkala dua kali setahun serta penggunaan sistem perusahaan sepadu C-Plan oleh JKR bagi memastikan kualiti dan kemajuan projek dipantau dengan rapi.
Berhubung penyelenggaraan kapal dan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Shamsul Anuar berkata sebanyak RM229 juta diperuntukkan setiap tahun bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan 35 kapal agensi itu.
“Maritim Malaysia memiliki 237 aset laut yang beroperasi di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu bagi memastikan tugas penguatkuasaan maritim dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Shamsul Anuar berkata melalui Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2020, agensi itu menyasarkan 116 kapal ronda, 96 kapal bersaiz sederhana, 20 kapal besar serta 228 bot bersaiz bawah 20 meter bagi menampung keperluan operasi.
Setakat 30 Sept lepas, sebanyak 35 kapal Maritim Malaysia berusia lebih 30 tahun dan agensi itu sedang melaksanakan program penyelenggaraan semula serta pelan penggantian aset lama secara berperingkat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial