KOTA BHARU, 7 Okt (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 11,784 notis kompaun melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sejak dilaksanakan pada 1 Okt tahun lepas.
Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah merokok di kawasan larangan yang telah diwartakan, selain kesalahan menjual dan mempamerkan produk rokok yang tidak mematuhi kehendak pelabelan serta pembungkusan.
“Sehingga 30 Sept lepas, kami telah memeriksa 20,608 premis dan menjalankan 2,676 operasi, selain mengeluarkan 11,784 notis kompaun bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta 852.
“Dalam tempoh sama, 21 kertas siasatan turut dibuka bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun, menunjukkan komitmen tinggi jabatan terhadap penguatkuasaan undang-undang ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Operasi Selamat Paru-Paru (Malam) sempena Penguatkuasaan Penuh Akta 852 peringkat negeri di Cawangan Kawalan Penyakit Kota Bharu malam ini.
Dr Zaini berkata operasi besar-besaran itu disertai 120 anggota penguat kuasa dari seluruh jajahan dan melibatkan pemeriksaan di stesen minyak, kedai serbaneka serta premis makanan.
Beliau berkata penguatkuasaan penuh bermula 1 Okt lepas apabila semua premis tidak lagi dibenarkan mempamerkan produk rokok secara terbuka kepada pelanggan dan penjualan hanya boleh dilakukan atas permintaan, selaras dengan peraturan baharu Kementerian Kesihatan (KKM).
“Akta 852 mula dilaksanakan secara berperingkat sejak Okt 2024 sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya tahun ini bagi memastikan persekitaran bebas asap rokok serta melindungi kesihatan awam daripada bahaya perokok aktif dan pasif.
“Pelaksanaan penuh akta ini melibatkan beberapa seksyen utama termasuk Seksyen 3 (pendaftaran produk rokok), Seksyen 10 (penjualan atau paparan produk tidak patuh) dan Seksyen 15 (mengimport atau mengedar produk tidak memenuhi kehendak pembungkusan),” katanya.
Beliau berkata hasil pemantauan menunjukkan tahap kepatuhan masyarakat di negeri berkenaan semakin meningkat berikutan pelbagai kempen kesedaran dijalankan sepanjang tahun lepas.
“Walaupun masih terdapat segelintir yang ingkar, kami percaya tiada lagi alasan untuk mendakwa mereka tidak tahu mengenai penguatkuasaan ini kerana hebahan telah dibuat melalui pelbagai platform termasuk media, badan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial