KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Proton Holdings Bhd (Proton) telah memindahkan 1,400 kakitangan bahagian pembuatan dari kilangnya di Shah Alam ke kemudahan Proton Tanjong Malim di Lembah Berteknologi Tinggi Automotif (AHTV), Perak, sekali gus menandakan berakhirnya pengeluaran kenderaan selama empat dekad di Shah Alam.
Pengeluar kereta nasional itu berkata pengeluaran unit terakhir Proton Saga di kilangnya di Shah Alam pada 30 Sept, 2025 menandakan kejayaan pemindahan sepenuhnya pengeluaran model Saga ke kemudahan moden di Tanjong Malim.
Katanya, selain model Saga, turut dipindahkan ke hab pembuatan berteknologi tinggi di Tanjong Malim ialah model Persona, siri SUV X dan sedan S70, yang turut menempatkan kilang pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama Proton.
Menurut Proton, dengan memusatkan semua aktiviti pemasangan, penyelidikan dan pembangunan, serta pembuatan, Proton telah menjadikan kemudahannya itu sebagai teras AHTV bertaraf dunia, dan diiktiraf sebagai salah satu tapak automotif utama di Asia Tenggara.
“Kilang itu merangkumi lima bahagian pengeluaran utama iaitu pemesinan enjin dan transmisi, penghentakan, pemasangan badan, cat, pencantasan dan pemasangan akhir, bagi membolehkan penyelarasan pengeluaran model yang lebih cekap seperti Proton Siri-X, S70 dan model ikonik, Saga.
“Proton Tanjong Malim beroperasi dengan berlandaskan prinsip industri 4.0, dilengkapi dengan mesin tekan mekanikal terbesar di Malaysia dan barisan pengeluaran enjin baharu, satu-satunya di luar China yang mengeluarkan enjin 1.5 TGDi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Proton berkata dengan memanfaatkan kapasiti pengeluaran kenderaan sebanyak 250,000 unit setahun di kemudahan itu, ia terus mengukuhkan rangkaian vendor tempatan menerusi penyetempatan komponen yang agresif.
Katanya, strategi tersebut menjadikan kilang itu sebagai hab utama eksport kenderaan pemanduan sebelah kanan bagi Kumpulan Geely di Asia Tenggara, dan lokasi pertama bagi kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
“Komitmen yang komprehensif memastikan rantaian bekalan yang berdaya tahan dan pertumbuhan yang kukuh bagi ekosistem pembekal tempatan di Malaysia dan pada masa sama membuka peluang pekerjaan baharu dan bernilai tinggi dalam sektor perindustrian EV serta perkhidmatan teknikal,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial