AM

Belanjawan 2026: Industri Kreatif Harap Tumpuan Pembangunan Menyeluruh

07/10/2025 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Penggiat industri kreatif berharap Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan 10 Okt memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh sektor itu bagi memperkukuh ekosistem industri serta memastikan pertumbuhan mampan dan berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata tiga tumpuan utama telah dikemukakan iaitu kebajikan penggiat seni, pengukuhan ekonomi kreatif serta penghasilan karya berteraskan kenegaraan dan perpaduan.

“Kita mencadangkan Dana Kenegaraan bagi menggalakkan lebih banyak penerbit menghasilkan karya bertemakan perpaduan. Kita juga mahu meneruskan program latihan industri untuk mempersiapkan penggiat menghadapi teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Isu kebajikan penggiat seni turut diberi perhatian dengan cadangan supaya bantuan dan perlindungan sosial seperti caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta insurans diperluaskan kepada mereka bekerja secara bebas,” katanya kepada Bernama.

Azmir Saifuddin turut berharap kerajaan mengekalkan insentif sedia ada seperti Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) yang terbukti berjaya menarik pelaburan asing serta memperluas peluang pekerjaan kru tempatan.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jurey Latiff Rosli berkata dasar perolehan baharu RTM perlu diwujudkan dengan berpaksikan pembangunan industri, selain menyediakan peruntukan mencukupi untuk memperbanyak kandungan berkualiti tinggi di stesen penyiaran awam.

“Industri televisyen bukan sekadar hiburan, tetapi alat pembinaan negara bangsa, penyampai nilai murni dan wadah perpaduan rakyat. Namun kebanyakan syarikat penerbitan kini beroperasi kecil-kecilan tanpa pendapatan stabil akibat dasar perolehan yang tidak mampan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan FINAS menubuhkan Dana Sepadan Kolaborasi Antarabangsa (Matching Grant Co-Pro Fund) bagi menggalakkan penghasilan kandungan bersama negara anggota ASEAN dan rakan serantau.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Datuk Afdlin Shauki pula menegaskan keperluan kerajaan menilai semula dasar pencukaian terhadap industri kreatif memandangkan ramai karyawan tempatan masih berdepan cabaran ekonomi.

“Industri kreatif ini pulangannya tidak besar, jadi kerajaan boleh membantu dengan mengurangkan atau mengecualikan cukai untuk karyawan tempatan seperti diamalkan di Ireland. Jika tiada dana tambahan, sekurang-kurangnya jangan tambah beban cukai,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan meneliti semula polisi pemilikan hak harta intelek (IP) oleh RTM agar penerbit tempatan tidak kehilangan potensi pendapatan jangka panjang.

“Kalau mahu beli IP sepenuhnya, bayar dengan harga setimpal. Jika tidak, lebih baik sistem pelesenan setahun atau dua tahun diamalkan supaya penerbit boleh terus menjana pendapatan daripada karya mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan