GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- Projek Lebuhraya Lingkaran Pantai Utara (NCPR) berada pada fasa akhir penyediaan reka bentuk terperinci serta penyempurnaan perjanjian subkontrak bagi setiap pakej kerja.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata projek itu diperlukan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya kepada mereka yang tinggal dan berulang-alik ke Batu Ferringgi serta Teluk Bahang, dekat sini.
“Kerajaan negeri bersama kontraktor utama sedang meneliti dua komponen utama itu dengan kerjasama penasihat undang-undang negeri serta agensi terlibat.
“Kita dalam proses memuktamadkan dua perkara itu kerana setiap pakej perlu ada perjanjian tersendiri dengan beberapa siri bengkel telah diadakan dan kini berada pada peringkat akhir,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Jalan Batu Ferringhi di sini hari ini.
Zairil berkata kemajuan projek masih mengikut jadual dan tidak menghadapi kelewatan setakat ini.
Projek NCPR merupakan sebahagian daripada projek tiga jalan utama dan terowong dianugerahkan pada 2013, melibatkan pembinaan lebuh raya sepanjang 10.61 kilometer (km) termasuk 8.41km laluan darat dan 2.2km laluan jejambat pesisir, yang dijangka bermula 2026 dan siap menjelang 2031.
Pembinaan lebuh raya itu dijangka mengurangkan masa perjalanan dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang dari 30 hingga 45 minit pada waktu puncak kepada tujuh minit, selain akan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi dan pelancongan di kawasan pesisir utara negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial