GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM8.8 juta membabitkan kerja-kerja pembaikan cerun di kawasan berisiko runtuhan sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang bagi tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata kelulusan dana itu diterima setelah pihaknya menghantar permohonan kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 16 April lepas bagi membaiki cerun yang dikenal pasti berisiko di Pulau Pinang.
"KKR telah meluluskan peruntukan bagi Fasa 2 yang berjumlah RM8.8 juta iaitu tambahan sebanyak RM4.9 juta berbanding tahun lepas bagi Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun di lokasi-lokasi yang dikenal pasti mengalami runtuhan.
"Kerja-kerja pembaikan cerun akan dijalankan secepat mungkin terutama di jalan-jalan yang dikenal pasti berisiko tinggi seperti Jalan Batu Ferringhi demi menjamin keselamatan pengguna,'' katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Jalan Batu Ferringhi di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 15 projek dilaksanakan di daerah Timur Laut dengan kos keseluruhan RM7.6 juta manakala satu di Barat Daya bernilai RM1.18 juta.
Zairil berkata projek itu melibatkan laluan persekutuan utama seperti Jalan Yahya Petra, Jalan Batu Ferringhi, Jalan Tanjung Bungah serta Jalan Paya Terubong dan setiap lokasi dipilih berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh JKR bersama agensi teknikal termasuk Jabatan Mineral dan Geosains.
Beliau berkata kerja-kerja di tapak telah dimulakan sejak Ogos lepas dengan tujuh projek dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini manakala bakinya pada 2026.
''Keutamaan diberikan kepada cerun yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
"Antara komponen utama projek ialah kerja penyiasatan tanah, pembersihan tapak dan pembaikan cerun menggunakan kaedah teknikal seperti tieback wall, soil nail dan rubble wall mengikut keperluan di setiap lokasi,'' katanya.
Zairil berkata pengguna jalan raya turut dinasihat agar merancang perjalanan dengan baik dan mematuhi arahan keselamatan serta papan tanda di kawasan pembaikan sepanjang tempoh kerja-kerja itu dijalankan.
''Kami minta semua pihak terutama pengguna jalan raya agar memberikan kerjasama dan berhati-hati serta mematuhi panduan keselamatan demi kelancaran kerja-kerja di tapak projek,'' katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial