AM

Projek Sakit Antara Dibangkit Dalam Bahas LKAN Di Dewan Rakyat

07/10/2025 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Isu projek sakit membabitkan pembinaan sekolah dan perumahan rakyat menjadi tumpuan majoriti Ahli Parlimen pada sesi perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) menegaskan kelemahan pelaksanaan projek kerajaan yang berulang saban tahun menuntut tindakan punitif lebih tegas terhadap pihak bertanggungjawab.

Beliau berkata sehingga 31 Dis 2024, sebanyak 157 projek sakit dilaporkan membabitkan 18 kementerian, antaranya Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Rakyat mula mempersoalkan keberkesanan laporan audit dalam membawa perubahan yang nyata. Kerajaan perlu membentangkan perbandingan tahunan sejak 2015 bagi menilai sama ada jumlah projek sakit meningkat atau menurun, sekali gus menilai keberkesanan tindakan pembetulan,” katanya ketika membahaskan usul berkenaan.

Wong turut membangkitkan kelewatan projek pangkalan operasi hadapan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang diluluskan hampir 10 tahun lepas, namun masih belum siap dan kini memerlukan kos tambahan RM28.7 juta.

Dalam perbahasan sama, Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) merujuk kelewatan projek di bawah KKDW apabila Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) gagal membayar dividen lebih RM12 juta kepada lebih 10,000 peneroka, selain 3,000 unit rumah rakyat bernilai RM450 juta yang terbengkalai di bawah KPKT.

Bagi sektor pendidikan, beliau berkata peruntukan RM200 juta bagi sekolah luar bandar tidak diagih dengan cekap menyebabkan lebih 150 sekolah kekurangan fasiliti dan pembinaannya lewat sehingga sembilan bulan.

Turut dibangkitkan ialah isu nombor pendaftaran kenderaan tidak aktif apabila Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan sistem dalam talian e-Baki Nombor Pendaftaran Kenderaan.

Beliau berkata berdasarkan semakan audit Bahagian Teknologi Digital Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat 375,762 nombor pendaftaran tidak aktif yang masih belum terjual sejak 2024, dengan Kuala Lumpur merekodkan jumlah tertinggi (98,910) diikuti Johor (49,851) dan Putrajaya (45,467).

“Saya yakin angka ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Masalah ini dikhuatiri mengakibatkan kerugian besar terhadap kerajaan iaitu sekurang-kurangnya RM112.73 juta sekiranya nombor pendaftaran itu dijual pada harga minimum RM300,” katanya.

Sebanyak 23 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan usul berkenaan, manakala sesi penggulungan bagi kementerian-kementerian berkaitan dijadualkan berlangsung esok.

Terdahulu, ketika membentangkan usul itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pembentangan LKAN di Dewan Rakyat bertujuan memastikan mekanisme utama semakan kewangan berfungsi berkesan serta tiada ketirisan dalam pengurusan wang rakyat.

Beliau berkata langkah pemerkasaan itu direalisasikan apabila Akta Audit 1957 (Akta 62) dipinda pada 2024 selepas 33 tahun tidak disentuh.

“Pindaan ini membuka lembaran baharu kepada Jabatan Audit Negara (JAN) sebagai institusi audit bebas yang memainkan peranan penting dalam memastikan akauntabiliti kerajaan di semua peringkat.

“Hanya melalui perbahasan dan penelitian kita dapat memperbaiki kelemahan, memahami teguran dan menambah baik sistem. Apabila ruang untuk perbahasan diberi, ia membuktikan Kerajaan MADANI ini tidak takut kepada kritikan, malah menerima pandangan untuk terus memperbaiki apa yang perlu ditambah baik,” katanya.

Azalina berkata LKAN dibentang dan dibahas buat kali keenam di Dewan Rakyat yang menyaksikan trend positif dari tahun ke tahun hasil perbincangan serta teguran membina Ahli Parlimen.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 


MJ SSR MFG NAW NMN


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan