DUNIA

Bursa Malaysia Dibuka Rendah Ketika Wall Street Catat Prestasi Bercampur-campur

07/10/2025 11:13 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari Selasa dalam persekitaran prestasi semalaman bercampur-campur di Wall Street dan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.16 mata atau 0.38 peratus kepada 1,631.93 daripada 1,638.09 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu memulakan urus niaga pagi ini 2.03 mata lebih rendah pada 1,636.06.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan saham rugi mengatasi saham untung dengan 251 berbalas 112 manakala 301 kaunter tidak berubah, 1,912 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 474.28 juta unit bernilai RM134.27 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata penutupan bercampur-campur semalaman di Wall Street tetapi pasaran utama lain mencecah paras tertinggi, didorong oleh keyakinan terhadap penggabungan dan pengambilalihan.

Beliau berkata, penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) berlanjutan dengan hasil 10 tahun AS semakin tinggi pada 4.16 peratus.

“Di peringkat tempatan, FBM KLCI menyaksikan tanda-tanda peningkatan penyertaan runcit sejak beberapa hari lepas dengan volum dagangan bertambah baik.

"Justeru, kami menjangkakan indeks akan berada dalam julat 1,635-1,645 hari ini. Sementara itu, harga emas melonjak ke rekod tertinggi lain pada AS$3,940 setiap auns troy.

Dalam saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB turun empat sen masing-masing kepada RM9.98 dan RM7.63, Public Bank merosot satu sen kepada RM4.36, Tenaga Nasional berkurangan dua sen kepada RM13.34 dan IHH Healthcare menguncup enam sen kepada RM8.29.

Bagi saham aktif, Borneo Oil dan KNM Group tidak berubah pada 0.5 sen, Cheeding Holding naik 40 sen kepada 76 sen selepas mula disenaraikan di Pasaran ACE, Mtouche Technology menokok satu sen kepada tujuh sen manakala Dagang Nexchange melonjak setengah sen kepada 26.5 sen.

Selain Cheeding, antara kaunter paling untung menyaksikan Malaysian Pacific Industries naik 24 sen kepada RM31.24, Mega First Corporation meningkat sembilan sen kepada RM3.89, UWC menambah lima sen kepada RM4.22 dan MI Technovation menokok empat sen kepada RM2.73.

Kaunter paling rugi pula adalah Petronas Gas dan Far East Holdings masing-masing turun 20 sen kepada RM18.62 dan RM3.90, United Plantations menguncup 18 sen kepada RM23.30, PPB Group berkurangan 14 sen kepada RM10.38 dan PJBumi merosot sembilan sen kepada RM2.72.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 39.13 mata kepada 12,141.79, Indeks FBM 100 kerugian 39.63 mata kepada 11,872.84, Indeks FBM Emas Shariah turun 38.59 mata kepada 12,159.12,  FBM 70 merosot 34.09 mata kepada 16,980.33, manakala Indeks FBM ACE lemah 0.60 mata kepada 5,332.87.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.05 mata menjadi 173.47, Indeks Tenaga turun 1.06 mata kepada 785.07, Indeks Perladangan berkurangan 21.78 mata kepada 7,798.25 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 58.56 mata kepada 18,577.35.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan