AM

Malaysia Alu-Alukan Usaha Ke Arah Keamanan Di Gaza - PM Anwar

06/10/2025 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa Malaysia mengalu-alukan sebarang langkah yang membuka jalan ke arah keamanan di Gaza.

Anwar berkata Malaysia juga menyeru untuk mengekang, menghentikan serangan serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan kepada mereka yang memerlukan.

“Bagi Gaza, sinar harapan mungkin bakal muncul tidak lama lagi, kerana hanya beberapa hari lepas, kita menyaksikan perkembangan positif terhadap cadangan gencatan senjata terbaharu, yang membawa harapan bahawa penderitaan rakyat Gaza akhirnya mungkin akan berakhir.

“Keamanan yang berkekalan tidak akan tercapai dalam sekelip mata, namun ia mesti bermula dengan keberanian untuk menghentikan pembunuhan dan menjunjung tinggi kesucian nyawa,” kata beliau dalam ucapan khas di Forum Megatrends Khazanah 2025 hari ini.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia berdiri teguh dalam solidariti bersama semua peserta berani dan berdedikasi dalam misi Global Sumud Flotilla, serta semua yang berusaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan, demi menjamin hak rakyat Palestin serta merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat.

“Pada 4 Okt, kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel,” kata Perdana Menteri.

Pada Khamis (2 Okt), 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi GSF telah ditahan tentera rejim Zionis, selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa berhampiran zon merah R3 di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod di Israel.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara itu, telah memulakan pelayaran menuju ke Gaza sebagai tanda solidariti serta usaha untuk memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan penting kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan