AM

LKAN 3/2025: 6,028 Kenderaan Konsesi Lewat Dibekal, RM54.51 Juta Penalti Tidak Dikutip

06/10/2025 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mendedahkan pengurusan kenderaan konsesi kerajaan kurang memuaskan apabila 6,028 kenderaan lewat dibekalkan oleh syarikat konsesi dan anggaran penalti RM54.51 juta tidak dikenakan kepada pihak terlibat.

Menurut LKAN 3/2025 berhubung Penyata Kewangan Kerajaan 2024 yang dibentang di Dewan Rakyat di sini hari ini, Perjanjian Konsesi (CA2) antara Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat konsesi yang berkuat kuasa mulai 31 Julai 2022 hingga 30 Julai 2037 menetapkan setiap kenderaan perlu dibekalkan dalam tempoh 60 hari bekerja daripada tarikh pesanan.

“Analisis Audit menggunakan data sistem pengurusan kenderaan syarikat konsesi mendapati hingga 31 Dis 2024, sebanyak 6,028 kenderaan konsesi lewat dibekalkan antara satu hingga 508 hari selepas 60 hari bekerja daripada tarikh pesanan. 

“Semakan Audit juga mendapati hingga tempoh pengauditan dijalankan, tiada rekod menunjukkan tuntutan penalti dibuat kepada syarikat konsesi,” menurut laporan berkenaan.

Selain isu kelewatan, laporan berkenaan turut mendedahkan kerajaan menanggung kos yang lebih tinggi dengan anggaran RM28.79 juta akibat penggunaan 5,323 kenderaan konsesi yang telah tamat tempoh pajakan antara 2021 hingga 2024.

Berdasarkan pengiraan Audit, sekiranya kenderaan itu digantikan dengan kenderaan baharu mengikut tempoh yang sepatutnya, kerajaan hanya perlu membayar RM94.64 juta berbanding RM123.43 juta yang telah dibelanjakan.

Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara telah mengesyorkan MOF selaku pentadbir kontrak memastikan tindakan diambil terhadap kutipan anggaran penalti RM54.51 juta bagi kelewatan pembekalan kenderaan konsesi kepada kerajaan serta menyegerakan penyelesaian isu penggantian kenderaan tamat tempoh pajakan.

Sementara itu, MOF dalam maklum balas bertarikh 25 Julai 2025 dan 18 Ogos 2025 memaklumkan kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Penalti dan Jawatankuasa Kerja Penilaian Penalti untuk meneliti tuntutan penalti yang sewajarnya dikemukakan oleh kementerian.

Jawatankuasa Penalti dipengerusikan oleh timbalan ketua setiausaha perbendaharaan (pelaburan) dan dianggotai oleh wakil pelbagai bahagian di MOF dan wakil Jabatan Akauntan Negara.

“MOF telah mengadakan mesyuarat perhubungan bersama semua kementerian pada 18 Ogos 2025 dengan tujuan memaklumkan dapatan Jabatan Audit Negara dan tindakan susulan yang perlu diambil oleh kementerian,” menurut laporan itu.

Berkenaan kenderaan tamat tempoh, MOF memaklumkan penggunaan kenderaan terbabit adalah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas selain mengambil kira isu pembekalan kenderaan gantian oleh pihak pengilang/pengeluar yang dihadapi oleh syarikat konsesi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan