EKONOMI

Belanjawan 2026: MAA Syor Kerajaan Lanjut Insentif Kenderaan Elektrik

02/10/2025 11:07 AM

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kerajaan digesa melanjutkan insentif cukai sedia ada bagi kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam Belanjawan 2026 bagi mempercepat matlamat negara mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil serta menarik pelaburan jangka panjang.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata di bawah dasar sekarang, BEV yang diimport sepenuhnya menikmati duti import dan duti eksais sifar sehingga akhir 2025, manakala BEV pemasangan tempatan dikecualikan daripada duti import, duti eksais dan cukai jualan sehingga 2027.

Presiden MAA Mohd Shamsor Mohd Zain berkata persatuan itu mencadangkan agar insentif ini dilanjutkan hingga ke tahun 2027 bagi BEV yang dimport sepenuhnya (CBU) dan sehingga 2030 untuk BEV yang dipasang tempatan (CKD).

“Bahagian pasaran BEV masih rendah, hanya 4.0 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) setakat Jun 2025, walaupun meningkat 91 peratus daripada tempoh yang sama pada 2024.

"Jadi, terdapat keperluan mendesak untuk meneruskan insentif sedia ada bagi mengekalkan momentum pertumbuhan kenderaan elektrik (EV)," katanya kepada Bernama, sambil menambah senarai harapan belanjawan MAA telah diserahkan kepada kerajaan semasa Dialog Belanjawan beberapa bulan lalu.

Mohd Shamsor berkata model BEV yang dibawa masuk sebagai CBU selalunya menampilkan teknologi terkini, sistem keselamatan canggih dan berprestasi tinggi.

Beliau berkata ini penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap teknologi EV, sekali gus mempercepatkan peralihan daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).

 

Percepat Pembinaan Stesen Pengecas EV di Seluruh Negara  

 

Mohd Shamsor berkata pemberian insentif bukan sahaja akan mengekalkan permintaan tetapi juga membantu mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan.

“Tempoh insentif yang lebih lama akan merangsang permintaan terhadap BEV dan mempercepatkan pembinaan stesen pengecas EV (EVCB) di seluruh negara yang setakat 31 Mac, 2025, berjumlah 4,161,” katanya sambil menambah kerajaan menyasarkan sebanyak 10,000 stesen pengecas menjelang 31 Dis tahun ini.

Menurutnya, pengeluar peralatan asli (OEM) China juga semakin aktif di Malaysia.

Beliau berpandangan dengan mengukuhkan keyakinan dalam kalangan OEM BEV, terutamanya dari China, mereka berkemungkinan besar akan terus kekal berada di sini dan melabur untuk membuka operasi CKD di Malaysia.

“Ini seterusnya boleh mewujudkan peluang pekerjaan, terutamanya untuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan yang akan meneraju transformasi EV,” katanya.

 

Insentif Hibrid Untuk Mudahkan Peralihan Kepada EV

 

Bagi mempercepat pembangunan EV di negara ini, Mohd Shamsor berkata MAA telah mencadangkan pengurangan sebanyak 75 peratus di bawah skim Insentif Tersuai Baharu untuk kenderaan elektrik hibrid (HEV) pemasangan tempatan, berkuat kuasa selama lebih dua tahun sehingga 2027.

“Menggalakkan HEV adalah pendekatan yang ideal untuk menghentikan pengeluaran kenderaan ICE konvensional secara berperingkat dan meningkatkan peralihan ke arah BEV,” katanya.

Beliau berkata usaha menjadikan HEV lebih mampu milik penting kerana ia dapat menangani kebimbangan pelanggan berkaitan isu kuasa bateri tidak mencukupi bagi perjalanan jarak jauh, ketersediaan stesen pengecasan EV yang terhad di seluruh negara dan masa pengecasan yang lama bagi BEV.

Kerajaan menyasarkan kenderaan elektrik menyumbang 15 peratus daripada TIV menjelang 2030 dan 38 peratus menjelang 2040.

Kenderaan elektrik termasuk BEV, kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dan kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Okt ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan