PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan jamuan tengah hari bagi meraikan Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif di Seri Perdana, di sini.
Anwar dan Shehbaz, yang tiba bersama menaiki kenderaan sama pada 12.55 tengah hari, disambut dengan laungan “Welcome to Malaysia” oleh murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (3), manakala sekumpulan penari dari Istana Budaya mempersembahkan tarian sambutan.
Turut hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Terdahulu, Shehbaz diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Shehbaz dan delegasi rasmi beliau tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Anwar.
Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan Shehbaz ke Malaysia merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024, yang mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.
Lawatan itu dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta mempertingkat kerjasama dalam bidang yang memberi manfaat bersama.
Malaysia dan Pakistan menjalin hubungan diplomatik sejak 1957, dengan hubungan itu dipertingkat kepada Rakan Strategik pada Mac 2019.
Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Pakistan mencecah RM8.07 bilion (USD$1.76 biion), meningkat 25.5 peratus berbanding 2023.
Eksport utama Malaysia ke Pakistan merangkumi minyak sawit, petroleum dan produk kimia, manakala import dari Pakistan terdiri daripada hasil pertanian, tekstil, pakaian, kasut serta produk petroleum.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial