AM

PPR Ampar Tenang: 167 Keluarga Nikmati Kediaman Baharu Bernilai RM88 Juta

06/10/2025 12:12 PM

DENGKIL, 6 Okt (Bernama) -- Setelah lebih dua dekad menanti, impian 167 keluarga untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang di sini, yang dibangunkan dengan kos melebihi RM88 juta.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek yang telah siap dibina itu menjadi simbol kejayaan kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyelesaikan hal berkaitan penempatan penduduk di perumahan sementara sejak pembangunan Putrajaya sekitar 1998.

“Kita dapat menyelesaikan isu yang berlarutan lebih 25 atau 26 tahun sebab ia bermula kira-kira 1998 atau 1999, apabila pembinaan Putrajaya melibatkan peladang-peladang di Prang Besar ataupun ladang Prang Besar yang telah dipindahkan sementara.

“Alhamdulillah, saya lihat apa terjadi ialah sebelum ini kerajaan negeri cuba bantu menyelenggara, menyusun hingga kita pernah membelanjakan lebih kurang RM1.5 juta tetapi perumahan sementara itu agak daif dan hari ini perumahan dijanjikan kira-kira 25 hingga 26 tahun lepas dapat direalisasikan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran PPR Ampar Tenang kepada peserta, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu. 

Amirudin berkata penyerahan rumah akan dibuat secara berperingkat berikutan beberapa proses perlu diselesaikan merangkumi bayaran komitmen, isu pewarisan dan pemasangan utiliti asas seperti elektrik serta air.

“Mereka perlu bayar antara RM20,000 dan RM50,000 sahaja lebih kurang untuk memiliki satu aset bernilai RM145,000 dan ini adalah satu nilai sangat berjaya saya rasa, untuk penduduk yang telah menunggu terlalu lama, lebih 20 tahun,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kejayaan PPR Ampar Tenang sebagai hadiah terbaik sempena sambutan Hari Deepavali kerana majoriti keluarga terdiri daripada masyarakat India.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta komuniti bagi memastikan agenda pembangunan yang inklusif, holistik dan berdaya huni dapat dicapai demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang atau ideologi politik.

KPKT dalam kenyataan memaklumkan bagi fasa pertama, sebanyak 167 peserta yang layak menerima surat tawaran, telah dipilih berdasarkan penyelesaian bayaran rumah Rumah Kos Rendah (RKR) Taman Pertama serta urusan dokumentasi berkaitan penukaran nama atau pusaka. 

PPR Ampar Tenang adalah projek membabitkan pembinaan 404 unit rumah teres satu tingkat, berkeluasan 700 kaki persegi di atas tanah seluas 30 ekar.

Setiap unit lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, di samping kawasan perumahan turut dilengkapi kemudahan asas seperti satu unit balai komuniti serta kawasan lapang untuk kegunaan bersama penduduk. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan