AM

Banjir Kilat Di Pontian: Penduduk Gesa Naik Taraf, Besarkan Saliran Parit Dan Sungai

05/10/2025 07:16 PM

PONTIAN, 5 Okt (Bernama) -- Penduduk Kampung Paya Embun dan Kampung Melayu Raya, di sini menggesa pihak berwajib supaya segera menaik taraf sistem perparitan dan melebarkan sungai berdekatan yang dipercayai menyebabkan banjir kilat apabila hujan lebat berterusan.

Norhayati Ariffin, 54 yang tinggal di Kampung Melayu Raya meluahkan kerisauan banjir kilat akan berulang pada bila-bila masa sekiranya kerja menarik taraf itu tidak dilakukan dalam masa terdekat berikutan rumahnya terletak berhadapan saliran parit.

“Saliran parit perlu dibesarkan, supaya air dapat mengalir dengan baik dan tidak tersekat lalu melimpah memasuki rumah penduduk,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Ibu dua anak itu berkata sudah tiga kali kejadian sama melanda kawasannya pada tahun ini yang menyebabkan dia sekeluarga perlu mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Dia berkata banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sekitar 1.30 pagi semalam dengan air naik hingga paras paha, menyebabkan sebahagian besar barangan termasuk perkakas elektrik rosak dan  kerugian lebih RM10,000.

“Banjir kali ini hampir sama teruknya dengan banjir seminggu sebelum raya tahun ini. Air naik sangat cepat menyebabkan banyak barangan dalam rumah tidak sempat diselamatkan. Tidak tahu hendak cakap apa lagi, rasa penat sangat,” katanya.

Sementara itu, Azman Jaafar, 43, dari Kampung Paya Embun berkata sungai yang terletak di belakang rumahnya perlu dilebarkan dan tanah yang telah dikorek perlu dibuang ke luar kawasan. 

“Kalau besarkan sungai tetapi tanahnya hanya dikorek ke tepi, lambat laun ia akan masuk semula ke dalam sungai,” katanya yang bekerja di pasar.

Azman turut menjelaskan banjir kilat kali ini berlaku terlalu cepat dan kebanyakan penduduk tidak sedar air sudah memasuki rumah.

Bagaimanapun, katanya air surut sepenuhnya sekitar 11 pagi semalam sekali gus membolehkan penduduk membersihkan rumah mereka hari ini.

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati cuaca panas terik sekitar 1 tengah hari tadi membolehkan penduduk yang terjejas mula membersihkan rumah mereka.

PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya yang secara keseluruhan menempatkan seramai 159 penduduk daripada 46 keluarga meliputi lima buah kampung sejak 6 pagi semalam juga telah ditutup sepenuhnya pada 2 petang tadi.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata hujan lebat berterusan dan penurunan air Gunung Pulai menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Kawasan yang terlibat adalah Kampung Melayu Raya, Kampung Paya Embun, Kampung Pak Kalib, Kampung Seri Menanti dan Kampung Maju Jaya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan