AM

Terengganu Rakam Penghargaan Usaha Kerajaan Persekutuan Bawa Pulang Aktivis GSF

05/10/2025 02:54 PM

KUALA NERUS, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang berjaya membebaskan 23 rakyat negara ini yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan Persekutuan telah berjaya memainkan peranan dalam memastikan keselamatan dan membawa pulang kesemua aktivis termasuk lima dari Terengganu.

“Sudah tentu kita mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan (Persekutuan) yang telah memainkan peranan dan kita mendoakan supaya mereka yang terlibat itu selamat sampai ke tanah air,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Pusat Cari Kerja Terengganu dan Karnival Kesejahteraan Pekerjaan dan Keusahawanan Negeri Terengganu 2025 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan aktivis yang terlibat dari Terengganu melalui pelbagai cara dan mereka semua kini berada dalam keadaan baik dan sihat.

Aktivis yang terlibat dari Terengganu ialah Norfarahin Romli atau lebih dikenali Farah Lee, Muhammad Rusydi Ramli, Razali Awang, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali Ustaz Mad Kecil, dan Muhammad Asmawi Mokhtar. 

Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi itu kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel, dan dijadualkan berlepas pulang ke tanah air esok, menurut Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. 

 -- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan