AM

GSF: Usaha PM Dihargai, Keberanian Sukarelawan Malaysia Dikagumi

05/10/2025 07:26 PM

KOTA KINABALU, 5 Okt (Bernama) -- Usaha dan komitmen kerajaan serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuahkan hasil dan sangat dihargai apabila berjaya memastikan pembebasan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF), yang ditahan tentera rejim Zionis.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah Mohd Zikri Zainudin berkata meskipun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, Perdana Menteri tetap berusaha keras memastikan kesemua sukarelawan Malaysia itu dibebaskan. 

"Malaysia mempunyai hubungan dengan negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel seperti Turkiye, Mesir termasuk Amerika Syarikat, melalui usaha diplomasi Perdana Menteri dan pihak kerajaan ini memperlihatkan bahawa Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara yang mempunyai diplomasi tinggi dan mampu menjadi pendamai ketika krisis.

"Hubungan Malaysia–Turkiye juga sangat membantu dalam usaha membebaskan sukarelawan GSF, teşekkürler dan terima kasih diucapkan kepada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan yang banyak membantu dalam usaha membebaskan sukarelawan GSF," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut beliau, sukarelawan GSF yang juga mewakili Sumud Nusantara membawa suara rakyat Malaysia yang mahu melihat bantuan kemanusiaan diberikan kepada penduduk Palestin di Gaza, yang berdepan dengan kebuluran berikutan pihak Israel menyekat bantuan makanan, ubat-ubatan serta keperluan asas.

Seorang penduduk Bandar Sri Indah Fasa 3, Tan Piang Ho, 60, berkata usaha kerajaan diterajui Anwar bagi memastikan 23 sukarelawan GSF selamat dan dibebaskan menunjukkan keprihatinan kerajaan serta kecekapan dalam menangani krisis antarabangsa.

"Terima kasih PMX dan juga rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menyokong usaha dunia untuk terus menekan negara yang menindas, usaha 23 sukarelawan ini membawa harapan kepada warga Gaza yang hidup susah akibat konflik perang," katanya.

Bagi penduduk Taman Kinabutan Ria, Hamzah Sainudin, 42, pula tindakan tidak berdiam diri Perdana Menteri berjaya memastikan pembebasan sukarelawan GSF yang dijangka pulang ke Malaysia esok, selain membuktikan ketegasan dalam melindungi rakyatnya.

"Kerajaan MADANI bukan sahaja berupaya mengurus isu domestik dengan baik, tetapi turut berperanan aktif dalam menangani isu global yang melibatkan kemanusiaan dan diplomasi antarabangsa,” katanya.

Hamzah turut menzahirkan penghargaan terhadap keberanian dan semangat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh kumpulan sukarelawan Malaysia terbabit dalam membela nasib rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman berpanjangan Israel.

Pada Khamis lepas, 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal dinaiki dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Namun, atas usaha keras Perdana Menteri, semua sukarelawan itu dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia semalam dan tiba di Istanbul pada 8.40 malam tadi waktu Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan