KULAI, 5 Okt (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang disertai sukarelawan negara baru-baru ini membawa mesej keamanan dan kemanusiaan sekali gus menyeru semua pihak supaya memberikan sokongan padu terhadap usaha mereka itu.
Beliau berkata kerajaan menghargai semangat dan keberanian para sukarelawan yang menyertai misi terbabit dalam usaha membantu rakyat Palestin yang berdepan dengan kesengsaraan akibat konflik berpanjangan susulan kekejaman rejim Zionis.
“Mereka yang pergi membawa misi kemanusiaan yang sangat mulia. Saya dimaklumkan mereka sudah tiba dengan selamat di Istanbul dan akan pulang ke tanah air tidak lama lagi.
“Berkenaan menurunkan kandungan sensitif berkaitan GSF di laman sosial, saya tiada maklumat. Dalam hal ini, biarlah kita sama-sama menyokong, bukan membahaskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Program Corporate Social Responsibility (CSR) Run Event – Run for The Future 2025 di Hutan Bandar Kulai, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai komen dan hantaran jelik yang menyentuh sensitiviti berkaitan dengan misi kemanusiaan GSF di laman sosial.
Dalam pada itu, Teo turut menyatakan penghargaan kepada semua agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menjayakan misi GSF serta kerajaan Turkiye atas bantuan logistik dan diplomatik dalam memastikan keselamatan sukarelawan Malaysia.
Katanya, semangat perpaduan dan nilai kemanusiaan yang dizahirkan melalui misi flotila itu selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kepedulian sejagat dan solidariti kemanusiaan tanpa sempadan.
Semalam, media melaporkan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF dijangka tiba di tanah air seawal Isnin ini. Mereka akan menaiki penerbangan komersial Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Istanbul.
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial