EKONOMI

Belanjawan 2026: Pemain Industri Gesa Penyelesaian Tenaga Lebih Cekap, Mampan

05/10/2025 12:03 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan digesa untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan menggunakan penyelesaian mampan, seperti sistem penyejukan berpusat (DCS), untuk mengurangkan pelepasan karbon serta kos dan membina infrastruktur berdaya tahan, dalam Belanjawan 2026.

Pengarah Urusan Engie Services Malaysia Sdn Bhd, Wong Yin Kee berkata permintaan terhadap sistem penyejukan dijangka meningkat susulan pertumbuhan pusat data dan pembuatan canggih. 

“Sistem penyejukan berpusat lebih mampan dan cekap berbanding setiap bangunan menggunakan sistemnya sendiri.

"Negara-negara yang meneraju pembangunan bandar mampan sudahpun menerapkan DCS sebagai standard, dan Malaysia harus melakukan perkara yang sama untuk mengurangkan pelepasan, mengurangkan kos tenaga, dan memastikan kebolehpercayaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Engie Services Malaysia menyokong perniagaan, bandar dan industri dalam mencapai matlamat rendah karbon dengan menyediakan penyelesaian cekap tenaga, memodenkan kemudahan industri, menyediakan penyejukan berpusat, dan membangunkan projek tenaga boleh baharu berskala besar.

Wong juga menggesa kerajaan untuk mengukuhkan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) dengan menetapkan sasaran yang jelas dan boleh dilaksanakan untuk pengguna tenaga yang besar.

Menurutnya, walaupun rangka kerja pada masa ini adalah asas yang sangat baik, namun ia menumpu kebanyakannya pada pelaporan.

Justeru, Wong mencadangkan kerajaan memperkenalkan sasaran kecekapan yang jelas, sebagai contoh, keuntungan kecekapan tenaga loji penyejuk minimum setiap tahun untuk memacu kemajuan sebenar sambil membolehkan industri melabur semula penjimatan untuk mencapai pertumbuhan dan inovasi.

"Malaysia telahpun mengambil langkah berani dengan menyerapkan kecekapan tenaga dan penyejukan berpusat ke dalam rangka kerja dasar. Kita boleh memanfaatkan penjimatan kos yang tinggi untuk perniagaan, mengurangkan keamatan karbon nasional, dan membina infrastruktur lebih berdaya tahan pada masa depan.

"Engie Services Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dan industri untuk menjadikan peluang ini satu kenyataan," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan, dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Okt ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan