JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara Cacat Penglihatan Rugi Lebih RM400,000 Ditipu Sindiket "Phone Scam"

05/10/2025 02:29 PM

KUALA TERENGGANU, 5 Okt (Bernama) -- Seorang pesara lelaki cacat penglihatan kerugian sebanyak RM431,742 selepas diperdaya sindiket phone scam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 24 Jun lepas, mangsa yang berusia 73 tahun menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans.

Beliau berkata suspek mendakwa mangsa telah membuat tuntutan insurans kesihatan palsu dan bakal berdepan tindakan undang-undang.

"Mangsa yang buta bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan. Dia kemudiannya disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai polis.

"Selain tuntutan insurans palsu, mangsa juga didakwa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram. Suspek mengarahkan mangsa supaya membuka satu akaun bank baharu untuk tujuan siasatan dan tidak dibenarkan menggunakan akaun berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang bimbang dikenakan hukuman penjara telah meminta isterinya membuka akaun baharu dan memindahkan semua wang simpanan dia dan isteri ke akaun baharu berkenaan.

Bagaimanapun, pada 25 Sept lepas dia telah memaklumkan perkara itu kepada anaknya yang bertindak memeriksa akaun baharu berkenaan.

"Semakan mendapati terdapat aktiviti pemindahan wang berjumlah RM431,742 secara berperingkat dari tempoh 6 Julai hingga 14 Ogos lepas dari akaun baharu mangsa ke akaun tidak dikenali.

"Mangsa yang kehilangan semua wang simpanan membuat laporan polis tengah hari semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan