AM

Sultan Selangor Zahir Penghargaan Kepada Rakyat Sudi Meriahkan Perarakan Pernikahan Tengku Amir Shah

04/10/2025 05:03 PM

SHAH ALAM, 4 Okt (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh rakyat jelata, yang meluangkan masa menyaksikan serta memeriahkan Istiadat Perarakan Pengantin Putera Diraja pada Khamis.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, pada 2 Okt.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin dan Tengku Amir Shah turut berbesar hati malah terharu dengan keprihatinan serta keterujaan yang ditunjukkan oleh rakyat dari pelbagai kaum dan bangsa, yang julung-julung kali menyaksikan istiadat seumpamanya.

“Dianggarkan lebih 2,000 orang rakyat jelata sama-sama berkumpul di sepanjang Jalan Istana dari perkarangan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

“(Rakyat berkumpul) untuk melihat sendiri perarakan membawa Raja Muda Selangor menuju ke Masjid Istana Diraja, bagi menyempurnakan Istiadat Pernikahan baginda pada 2 Okt,” menurut hantaran itu.

Pasangan pengantin diraja dinikahkan oleh Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, dengan disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra Alhaj, pada istiadat pernikahan yang diadakan secara tertutup.

Istiadat pernikahan yang dilakukan dengan penuh tertib mengikut adat itu disaksikan Sultan Sharafuddin  dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Akad ijab dan kabul dilafazkan pada 10.08 pagi dengan sekali lafaz, disusuli 11 das tembakan meriam oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artilleri Diraja (Istiadat) sebagai menandakan istiadat pernikahan telah disempurnakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan