TAIPING, 4 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM5.4 bilion telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk 22 projek berkaitan air di negeri Perak meliputi 20 projek sambungan dan dua projek baharu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan yakin dengan siapnya keseluruhan projek oleh agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), rakyat akan menikmati bekalan air lebih terjamin, risiko bencana yang lebih rendah serta peluang ekonomi baharu berasaskan kepada sumber air lestari.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata antara agensi berkenaan adalah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Bekalan Air (JBA) serta Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).
"Besar hasrat dan tinggi harapan saya untuk melihat gerak kerja yang bersepadu dan berterusan daripada setiap agensi dan masyarakat terutama di peringkat Persekutuan dan negeri dalam memastikan sungai atau alur air terjaga dan terpelihara," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan di Sungai Batu Tegoh di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh serta Ketua Pengarah JPS Datuk Mohamad Radzi Abdul Talib.
Sementara itu, Fadillah berkata pemilihan Sungai Batu Tegoh sebagai tuan rumah kepada sambutan tahun ini adalah tepat, dengan keindahan alam dan kejernihan airnya yang menjadi tarikan kepada pengunjung di Perak.
Beliau berkata di Sungai Batu Tegoh juga terletaknya Projek Denai Sungai Kebangsaan (DSK) yang telah siap pada 2024, dengan projek itu membuktikan bahawa sungai boleh menjadi lebih daripada sekadar sumber air malah berpotensi menjadi pusat rekreasi untuk menjana ekonomi setempat.
"Ia (projek itu) menghubungkan rakyat dengan sungai, membina rasa kepunyaan serta membuka peluang ekonomi melalui ekopelancongan dan aktiviti komuniti. Inilah konsep pembangunan yang inklusif," katanya.
Fadillah berkata PETRA melalui JPS telah memperuntukkan RM1.05 juta untuk pembinaan DSK di Perak, termasuk di Sungai Batu Tegoh.
Selain itu, beliau berkata negara dikurniakan 189 lembangan sungai utama, termasuk 11 yang berada dalam negeri Perak, namun masyarakat tidak boleh berbangga jika kualiti sungai tidak terpelihara.
Fadillah berkata laporan terkini dari Jabatan Alam Sekitar menunjukkan 27 sungai di Malaysia masih tercemar dan statistik itu menjadi peringatan serta amaran untuk masyarakat.
"Pencemaran sungai tidak berlaku secara semula jadi sebaliknya berpunca daripada sikap manusia seperti pembuangan sampah, aktiviti perindustrian haram dan kegagalan mematuhi peraturan alam sekeliling. Sungai yang tercemar adalah tanda kecuaian kita dalam menjaga amanah ini.
"Sekiranya sungai tercemar dan tersumbat akibat pembuangan sampah, ia akan menjejaskan kelancaran aliran air hujan, sekali gus meningkatkan risiko banjir. Sebaliknya jika sungai dijaga dengan baik oleh semua pihak, nyawa dan harta benda dapat dilindungi," katanya.
Beliau berkata menyedari cabaran itu, PETRA melalui JPS telah melaksanakan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) iaitu satu usaha bersepadu melibatkan semua pihak berkepentingan, bertujuan memastikan ketersediaan air bersih, mengurangkan risiko banjir dan memulihara alam sekitar.
"Tahniah kepada Perak kerana lima pelan IRBM telah siap dan satu lagi sedang dalam pelaksanaan. Saya berharap negeri ini akan menjadi contoh kepada negeri lain kerana melalui pelaksanaan pelan IRBM pengurusan sungai di Perak lebih terancang dan efisien," katanya.
Berkenaan Hari Sungai Sedunia, Fadillah berkata sambutan yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu setiap tahun itu, bertujuan menyuntik kesedaran mengenai betapa pentingnya sungai, dengan tema sambutan tahun ini dikekalkan iaitu “Sungai dan Alur dalam Komuniti Kita” sebagai peringatan bahawa sungai nadi kehidupan masyarakat yang menuntut perhatian serta tanggungjawab bersama.
Beliau berkata sungai membekalkan 97 peratus air mentah negara dan kualiti air sungai berkenaan yang menjamin kelangsungan bekalan air bersih.
"Inilah air yang digunakan di rumah, sekolah, hospital, malah menjadi nadi kepada sektor perindustrian dan pertanian negara. Maka, penjagaan kualiti sungai bukan sahaja isu alam sekitar tetapi isu keselamatan negara, kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
"Sambutan Hari Sungai Sedunia ini menyemai kesedaran bahawa sungai adalah khazanah alam yang tidak ternilai, warisan untuk generasi akan datang. Sungai yang bersih dan jernih mencerminkan kebersihan alam dan jiwa masyarakatnya," katanya.
Pada masjlis perasmian sambutan itu hari ini, Fadillah turut melawat reruai yang disediakan pihak penganjur serta menanam pokok buluh madu sebagai simbolik perasmian.
Turut diadakan Simbolik Penyerahan Laporan IRBM Negeri Perak, selain penyampaian Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) kepada empat penerima.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial