AM

Hajiji Umum Tambahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya Untuk Belia

04/10/2025 06:22 PM

KOTA KINABALU, 4 Okt (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan tambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi setiap kawasan dewan undangan negeri (DUN) untuk golongan belia yang baharu mendirikan rumah tangga bermula tahun depan.

Beliau berkata tambahan itu menjadikan 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN berbanding 40 unit pada tahun ini.

“Tambahan 10 unit itu untuk orang muda yang susah dan baharu berkahwin kerana faham ada dalam kalangan golongan ini yang baharu mendirikan rumah tangga masih tinggal di rumah keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka, Pitas hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hajiji yakin projek LPPB itu akan memberi impak besar termasuk menyediakan peluang pekerjaan, perniagaan dan perkhidmatan yang akan memberi faedah kepada seluruh lapisan masyarakat di Pitas.

Beliau berkata projek itu juga memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki rumah sendiri, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar.

“Saya dimaklumkan projek ini melibatkan pembinaan 320 unit rumah di tanah seluas 15.21 hektar milik LPPB dan dilengkapi 171 unit kedai,” katanya.

Pada majlis sama, Hajiji turut mengumumkan kelulusan membina mini Kompleks Sukan Pitas, terminal bas awam dengan kos RM1 juta dan rumah budaya di Dataran Pitas bernilai RM1.4 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan