DUNIA

SNCC Nafi Sekeras-kerasnya Dakwaan Misi GSF Tidak Bawa Bantuan Kemanusiaan

04/10/2025 12:53 AM

SEPANG, 3 Okt (Bernama) -- Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Israel misi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak membawa bantuan kemanusiaan.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata sejak awal lagi, semua perkembangan berkaitan penghantaran bantuan telah dikongsi secara terbuka di media sosial rasmi GSF dan Sumud Nusantara, termasuk sumbangan terakhir daripada Agensi Bulan Sabit Merah Turkiye (Kizilay).

“Kami sudah menjangkakan naratif ini akan dimainkan bagi menunjukkan perjalanan GSF hanyalah untuk membangkitkan gelombang dunia. Saya kira ini adalah satu petunjuk yang sangat besar bahawa rejim Israel kini berada dalam tekanan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sani Araby berkata pada peringkat akhir, bantuan tambahan turut dihantar oleh Kizilay menggunakan kapal tentera laut Turkiye.

Beliau turut memaklumkan kapal terakhir Johnny M tidak dapat meneruskan pelayaran selepas dimasuki air sehingga separuh karam.

Menurut Sani Araby, GSF sejak berlepas dari Barcelona, Itali, Tunisia, Greece dan Malta, flotila itu membawa pelbagai bentuk bantuan dengan bukti bergambar yang telah dikongsikan.

Beliau bagaimanapun menegaskan fokus utama ketika ini adalah memastikan keselamatan 495 peserta yang kini dalam tahanan Israel.

“Misi ini ditahan tanpa sebab munasabah. Kita tidak membawa senjata dan delegasi kita memberikan kerjasama penuh. Malah, kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh dilihat secara langsung menunjukkan tiada sebarang pergerakan mencurigakan yang boleh menggambarkan kita membawa ancaman,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap seluruh rakyat Malaysia memberi fokus kepada Israel yang mencabul hak kemanusiaan.

“Jika kita terlalu fokus kepada persoalan ‘bantuan pergi ke mana’, kita sudah bawa naratif pesong bahawa siapa yang mencabuli misi,” katanya.

Ditanya gelombang kedua misi kemanusiaan ke Gaza, Sani Araby berkata selagi Gaza tidak dibebaskan, hak rakyatnya terus dinafikan dan kebuluran meruncing, dunia akan terus bangkit menyuarakan solidariti.

Beliau berkata daripada perspektif antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), landskap kini semakin panas apabila negara seperti Colombia terus konsisten melaksanakan tindakan yang perlu termasuk mengambil pendirian memutuskan hubungan serta mengusir wakil Israel sebagai tekanan diplomatik.

“Jadi, masing-masing sedang melaksanakan peranan yang saya kira cukup mengejutkan kita dalam sejarah moden ini. Selepas 75 tahun, termasuklah United Kingdom (mengiktiraf Palestin),” katanya.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan