AM

Penyasaran Subsidi Bahan Api Tidak Jejas Subsidi Asal Dinikmati Nelayan - LKIM

03/10/2025 06:09 PM

MUAR, 3 Okt (Bernama) -- Langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api tidak menjejaskan subsidi asal yang dinikmati kira-kira 112,000 nelayan berdaftar di seluruh negara ketika ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata sebaliknya, golongan nelayan turut mendapat faedah tambahan menerusi inisiaitif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang membantu mengurangkan kos perjalanan mereka untuk ke stesen minyak.

“Sebab bagi pemilik bot yang menggunakan enjin petrol, mereka perlu ke stesen minyak untuk membeli minyak. Jadi dengan penjimatan yang kerajaan lakukan hari ini pada harga RM1.99 seliter, ia mengurangkan kos operasi dan perjalanan nelayan itu sendiri. Ini sepatutnya meningkatkan produktiviti ataupun pengeluaran ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM yang turut menyaksikan penyerahan dua unit set janakuasa kepada Persatuan Nelayan Muar menerusi Bantuan Geran Pembangunan dan Pemerkasaan hari ini.

Ketika ini, pemilik bot berdaftar menerima manfaat Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan pada harga RM1.65 seliter selain Elaun Sara Hidup Nelayan berjumlah RM300 sebulan.

Sementara itu, beliau berkata golongan nelayan digalak untuk menceburi bidang penternakan ikan, sama ada air tawar atau laut menerusi projek akuakultur yang kini menjadi cabang baharu dalam meningkatkan bekalan ikan.

“Hasil laut ini lama kelamaan makin berkurangan. Kebanyakan kawasan pesisir ketika ini terlibat dengan pembangunan yang melibatkan aktiviti tambak laut yang boleh menjejaskan kawasan tangkapan nelayan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan