Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah langkah ‘serampang banyak mata’ yang bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, malah boleh menangani isu ketirisan subsidi, menurut ahli akademik.
Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Adilah Azhari berkata pelaksanaan BUDI95 dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan akibat ketirisan subsidi yang seterusnya boleh disalurkan ke sektor lebih kritikal.
“Penjimatan daripada pelaksanaan (inisiatif) itu boleh disalurkan ke arah pelaburan strategik, termasuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi rendah karbon bagi menyokong sasaran negara mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 di bawah Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0,” katanya kepada Bernama.
Ahli akademik itu turut melihat BUDI95 sebagai dasar penting untuk menstruktur semula perbelanjaan negara ke arah lebih mampan selain berupaya meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan subsidi yang lebih adil dan tersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Selain itu, beliau berkata BUDI95 juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses peralihan negara ke arah pelepasan karbon rendah, memandangkan Malaysia adalah antara negara dengan pengeluaran karbon tertinggi di rantau Asia Tenggara selepas Brunei dan Singapura.
Adilah bagaimanapun berharap kerajaan dapat memastikan proses pemantauan yang rapi sepanjang pelaksanaan inisiatif itu bagi mengelakkan berlakunya isu penyalahgunaan kad pengenalan, termasuk kes klon dan kecurian identiti.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata penjimatan hasil penurunan harga RON95 memberi makna besar kepada golongan berpendapatan rendah.
“Sebab ada pengguna, (perbelanjaan) mereka kini lebih rendah daripada sebelum ini… ada juga pihak yang memperlekehkan jumlah (penjimatan) tetapi pada saya ia adalah ikhtiar kerajaan yang sewajarnya rakyat menunjukkan rasa berterima kasih.
Mazlan turut menyifatkan penerimaan masyarakat terhadap pelaksanaan BUDI95 sebagai sangat positif.
“Saya fikir penerimaan masyarakat terhadap BUDI95 ini memang hangatlah. Kita lihat hari ini perbincangan di media sosial, banyak pihak memuji langkah kerajaan dengan penurunan harga itu kerana meringankan beban banyak pihak,” katanya.
BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 27 Sept dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada Ahad.
Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan setiap individu diberi kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 Sept hingga 8 Okt ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial