AM

Kebakaran Loji Jana Kuasa Tanjung Bin Energy, Tiada Kemalangan Jiwa Dilaporkan - Malakoff

03/10/2025 09:08 PM

JOHOR BAHRU, 3 Okt (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd hari ini mengesahkan bahawa tiada kemalangan maut atau kecederaan dilaporkan, susulan kejadian kebakaran di Loji Jana Kuasa Tanjung Bin Energy (TBEPP) di Pontian, malam tadi.

Dalam satu kenyataan Malakoff memaklumkan bahawa kawasan yang terjejas telah dijaga dengan selamat, dengan langkah berjaga-jaga sedang dilaksanakan untuk memastikan keselamatan kakitangan, petugas di tapak, dan komuniti sekeliling.

Menurut kenyataan itu kebakaran yang berlaku sekitar pukul 8 malam, berjaya dipadamkan pada 3.45 pagi dengan bantuan pasukan tindak balas kecemasan dalaman loji (ERT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Siasatan bersama dengan JBPM sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar kejadian,” menurut kenyataan itu.

Malakoff turut memberikan jaminan bahawa keadaan adalah terkawal sepenuhnya, dengan pemantauan berterusan dan operasi penyalutan air sedang dijalankan di tapak.

Terdahulu, Ketua Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru Penolong Superintenden Bomba Mahadir Mamat berkata kebakaran berlaku malam tadi di unit Flue Gas Desulfurization (FGD) dan terowong cerobong Loji Janakuasa TBEPP.

Beliau berkata sebanyak 22 anggota dari tiga BBP iaitu Pontian dan Pekan Nenas, serta pasukan bomba sukarela Benut telah dikerahkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan diterima pada 8.22 malam.

Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 70 peratus bahagian FGD fasiliti tersebut.

-- BERNAMA 

.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan