AM

MPN Cetus Sinar Baharu Perkukuh Sistem Pendidikan Berdepan Cabaran AI - Zambry

03/10/2025 06:21 PM

NILAI, 3 Okt (Bernama) -- Penubuhan Majlis Pendidikan Negara (MPN) yang dijangka pada tahun ini diharap mencetus sinar baharu bagi memperkukuh dan memajukan sistem pendidikan negara terutama dalam berdepan cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata landskap pendidikan global kini berubah pantas apabila negara di seluruh dunia bukan sahaja bersaing secara konvensional, malah menilai semula pendekatan menerusi perspektif baharu daripada kemunculan AI.

“Walaupun kita melihat AI itu mungkin hanya sebagai alat, tetapi ia telah pun membentuk tasawur ataupun pandangan dunia yang baharu dalam dunia pendidikan.

“Sebagai contoh, China dalam white paper (kertas putih) yang dibentangkan baru-baru ini, mereka mengemukakan blueprint baharu untuk pendidikan termasuk merombak sistem pendidikan mereka bagi menghadapi cabaran masa hadapan akibat kemunculan AI,” katanya.

Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan Integrasi AI dalam Pendidikan Tinggi anjuran bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat bagi membincangkan penubuhan MPN membabitkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan kementerian berkaitan itu diadakan pagi tadi dan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zambry berkata mesyuarat MPN, antara lain membincangkan penyelarasan dalam bidang pendidikan bertujuan mewujudkan kluster bagi membolehkan kementerian terlibat membuat perancangan mengenai program yang berkaitan pendidikan.

Terdahulu, beliau turut melancarkan Kerangka AI Syariah USIM, iaitu ekosistem AI berintegriti yang dibangunkan berpandukan disiplin ilmu Islam serta Maqasid Syariah di bawah pengawasan pakar bidang berwibawa.

“Ini satu usaha yang baik … dalam bidang AI sekarang ini kita memerlukan panduan dan etika. Dalam konteks USIM, mereka mengambil pendekatan dari sudut syariah. Jadi saya harap ia dapat dibangunkan sebaik-baiknya,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan