EKONOMI

Belanjawan 2026 Dijangka Peruntuk Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan Tertinggi RM430.3 Bilion - Kenanga

02/10/2025 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd menjangka perbelanjaan Kerajaan Persekutuan mencecah rekod tertinggi sebanyak RM430.3 bilion tahun depan dalam keadaan perbelanjaan mengurus (OE) dan perbelanjaan pembangunan (DE) yang semakin meningkat.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2026 minggu depan, bank pelaburan itu berkata OE dijangka meningkat sederhana sebanyak 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM342.3 bilion pada 2026, mencerminkan usaha kerajaan untuk mengimbangi disiplin fiskal dengan sokongan sosial.

Kenanga berkata DE diunjurkan berkembang sebanyak 2.3 peratus kepada RM88.0 bilion pada 2026, menunjukkan komitmen kerajaan terhadap transformasi ekonomi jangka panjang, membina daya tahan dan pembangunan inklusif

“Kerajaan dijangka mengutamakan pengoptimuman perbelanjaan, memberi tumpuan kepada program yang meningkatkan daya tahan ekonomi, menambah baik perlindungan sosial, dan menyokong pertumbuhan inklusif.

"Pendekatan ini dihasilkan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna, menggalakkan pekerjaan, dan mengekalkan permintaan domestik, sebagai aspek penting untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ketika ketidaktentuan ekonomi global," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Kenanga menjangka Belanjawan 2026 akan memperdalam agenda reformasi Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), memajukan rangka kerja Ekonomi MADANI dan membina daya tahan jangka panjang.

Perkara yang menjadi keutamaan termasuk meningkatkan pelaburan bernilai tinggi, memperluas bantuan yang disasarkan dan memodenkan perkhidmatan awam manakala antara bidang tumpuan strategik adalah transformasi industri, perlindungan sosial yang inklusif, dan pembaharuan tadbir urus untuk menyediakan pertumbuhan mampan dan inklusif, katanya.

Menurut bank pelaburan itu, kerajaan dijangka menetapkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 5.0 peratus sejajar dengan unjuran dalamannya sebanyak 4.2 peratus.

"Walaupun dalam keadaan ketidaktentuan global, daya tahan ekonomi dijangka kekal, disokong oleh permintaan domestik yang berterusan serta sektor perkhidmatan yang kukuh di samping pembaharuan subsidi dan langkah struktur," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Kenanga turut mengunjurkan defisit 3.7 peratus pada 2026, dengan pembaharuan cukai dan tadbir urus menjadi teras kepada kemampanan manakala pertumbuhan perolehan dijangka berkurangan kepada 3.6 peratus tahun depan berikutan pendapatan berkaitan minyak yang lebih perlahan mengimbangi keuntungan daripada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta e-invois.

"Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK dijangka meningkat kepada 66.5 peratus pada 2026, menokok sedikit berbanding unjuran 66.0 peratus pada 2025 selaras dengan pengembangan ekonomi yang sederhana dan pinjaman berterusan.

"Caj perkhidmatan hutang sebagai sebahagian daripada perolehan dijangka meningkat kepada 16.8 peratus menjelang 2026, melebihi ambang 15.0 peratus," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan