KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketujuh Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail hari ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Teknologis Negara 2025, pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan beliau dalam bidang teknologi, inovasi dan pembangunan bakat negara.
UTM dalam kenyataan memaklumkan anugerah berprestij yang diiktiraf Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) itu disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
“Anugerah ini menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian Ahmad Fauzi dalam memacu penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan teknologi membran merangkumi rawatan air, penyahgaraman, pemisahan gas dan tenaga mampan.
“Kepakaran beliau menjadikan teknologi ciptaan tempatan relevan untuk penyelesaian cabaran global, selain menghubungkan penyelidikan universiti dengan keperluan industri dan komuniti,” menurut kenyataan itu.
Menurut UTM, Ahmad Fauzi juga merupakan pengasas Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC) pada 1990 dan telah mendapat pengiktirafan sebagai Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sekali gus menjadikan AMTEC antara pusat penyelidikan bertaraf dunia dalam bidang teknologi membran.
Berlatarbelakangkan kejuruteraan kimia, Ahmad Fauzi memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum (B.Eng) dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia (MSc) daripada UTM, masing-masing pada 1989 dan 1992, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Kimia dan Proses di University of Strathclyde, Glasgow.
“Beliau ternyata merupakan anak kandung serta alumni sohor UTM, yang sentiasa mengangkat nama universiti di persada antarabangsa.
“Pengiktirafan ini juga mengukuhkan kedudukan beliau sebagai seorang daripada teknologis paling berpengaruh negara dengan legasi yang melangkaui sempadan antarabangsa menerusi kepimpinan akademik, kecemerlangan penyelidikan dan bimbingan generasi baharu saintis serta jurutera,” menurut universiti itu lagi.
Kejayaan itu juga sekali gus mencerminkan aspirasi UTM yang menekankan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi dan melahirkan bakat berkualiti tinggi demi manfaat industri, komuniti dan pembangunan negara, selari dengan moto keramat universiti, “Kerana Tuhan untuk Manusia”.
Sementara itu, Ahmad Fauzi dalam kenyataan sama menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghormatan yang mengukuhkan lagi komitmennya dalam mengangkat teknologi tempatan ke persada dunia.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap perjalanan saya sebagai seorang penyelidik dan akademik, tetapi juga penghargaan terhadap usaha bersama-sama pasukan penyelidik, mahasiswa dan industri yang mempercayai potensi teknologi membran.
“Saya percaya inovasi tidak boleh berhenti di makmal semata-mata. Ia mesti sampai kepada masyarakat, menyelesaikan cabaran sebenar dengan pemikiran the end in mind dan membina masa depan yang mampan,” katanya.
Untuk rekod, Ahmad Fauzi sebelum ini telah menerima lebih 200 anugerah berprestij pada peringkat nasional dan antarabangsa termasuk sebagai penerima pertama rakyat Malaysia untuk Anugerah Saintis Muda ASEAN 2001 dan Anugerah Mustafa 2023 (OIC Nobel Prize).
Beliau juga merupakan penerima Elsevier Groundbreaking Research Award 2025, serta Anugerah Merdeka 2014, yang menjadikannya sumber inspirasi berterusan dalam membentuk ekosistem teknologi dan inovasi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial