KANGAR, 6 Okt (Bernama) -- Penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengetuai projek penyelidikan berkaitan radar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk keperluan pertahanan negara menerusi dana penyelidikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) Tahun 2025 bernilai RM800,000.
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata subprojek di bawah rangka program LRGS itu dilaksanakan Prof Madya Dr Muzammil Jusoh dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik bersama-sama Prof Madya Dr Huda A Majid dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Prof Madya Dr Zaid Omar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Zaliman berkata geran itu diperoleh menerusi projek berimpak tinggi bertajuk Conceptual Framework for Short-Range AESA Radar in Malaysian Operational Environment: Antenna Arrays, Propagation Dynamics and Intelligent Target Processing.
“Ia memberikan tumpuan kepada pembangunan sistem radar Active Electronically Scanned Array (AESA) julat pendek berasaskan AI untuk keperluan pertahanan negara yang merangkumi tiga komponen utama, iaitu pembangunan reka bentuk AESA antena, pemodelan penyebaran gelombang radar dalam persekitaran tropika dan pengecaman sasaran berasaskan AI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis penyerahan geran disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang diadakan bersempena Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia 2025 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan baru-baru ini.
Dalam kenyataan sama, Muzammil berkata tiga projek utama rangka penyelidikan itu ialah Teknik Pembangunan Reka Bentuk AESA Antena dengan Julat Pendek, Pemodelan Empirikal Penyebaran Radar dalam Keadaan Maritim Tropika serta Pengesanan dan Pengelasan Objek Pintar Menggunakan Radar AESA Berasaskan AI.
“Tiga projek ini dijangka menghasilkan masing-masing enam penerbitan berindeks tinggi, pembangunan sumber manusia pelajar pascasiswazah dan hak cipta melalui inovasi dalam reka bentuk antena, simulasi radar dan algoritma kecerdasan buatan,” katanya.
Beliau berkata projek itu disokong Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) serta menjalinkan kerjasama strategik dengan Mindmatics Sdn Bhd, menjadikan penyelidikan itu lebih berdaya guna dalam konteks pembangunan radar nasional dan industri pertahanan tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial