KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Enam remaja bawah umur antara sembilan individu ditahan bagi membantu siasatan kes buli jalan raya melibatkan sekumpulan penunggang motosikal terhadap seorang pemandu kereta Perodua Myvi, dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong, Selangor awal pagi Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata kesemua lelaki berusia 13 hingga 21 tahun itu ditahan di sekitar Puchong dan Shah Alam pada Ahad dan semalam.
"Polis turut merampas tiga motosikal yang digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi tadi dan dibenarkan reman empat hari hingga Jumaat ini.
Polis sebelum ini menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun pada 10.04 malam Ahad lepas berhubung kejadian yang berlaku pada 4 pagi hari sama, ketika mangsa melalui plaza tol berkenaan.
Mangsa bersama rakannya sebelum itu dilaporkan telah berhenti di bahu jalan untuk membuat panggilan telefon apabila seorang daripada kumpulan lelaki bermotosikal yang turut berada di situ telah bertanyakan sama ada ada mereka anggota polis.
“Mangsa yang tidak menjawab soalan itu terus beredar namun kenderaan mereka telah diekori oleh kumpulan bermotor berkenaan sambil meminta mangsa berhenti. Kenderaan mangsa turut ditendang hingga menyebabkan kerosakan,” katanya.
Muhamad Farid berkata kes disiasat mengikut Seksyen 279 dan 427 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar memandu secara berhemah serta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis.
Sebelum ini, tular video di Facebook memaparkan kejadian sebuah Perodua Myvi dikepung kira-kira 20 penunggang motosikal yang bergerak rapat di kedua-dua sisi kereta itu serta cuba menghalang laluan berhampiran plaza tol berkenaan.
Seorang daripada mereka juga dilihat menumbuk cermin bahagian pemandu sebelum menendang pintu, menyebabkan mangsa memperlahankan kereta bagi mengelak insiden lebih buruk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial