EKONOMI

i-CATS Dan Istanbul Teknik University Perkukuh Kerjasama Aeroangkasa

30/09/2025 08:04 PM

KUCHING, 30 Sept (Bernama) -- Kolej Universiti i-CATS (i-CATS) dan Istanbul Teknik University (ITU) menjalin kerjasama strategik untuk mempertingkatkan pendidikan aeroangkasa, penyelidikan dan pembangunan bakat.

Inisiatif itu, yang dirasmikan baru-baru ini di Istanbul, bertujuan menyokong cita-cita Sarawak untuk meletakkan negeri itu sebagai hab serantau industri aeroangkasa dan teknologi tinggi sambil memperluas kerjasama antarabangsa i-CATS.

Antara bidang kerjasama ialah pertukaran pelajar siswazah dalam Kejuruteraan Astronautik, projek penyelidikan bersama dalam aeroangkasa dan bidang berkaitan, serta perkongsian bahan dan maklumat saintifik untuk menggalakkan inovasi dan kemajuan ilmu.

Kedua-dua institusi juga bersetuju untuk menganjurkan lawatan akademik, pertukaran fakulti dan program latihan, termasuk peluang untuk pensyarah i-CATS menjalani latihan khusus di ITU bagi mengukuhkan kepakaran mereka dalam pendidikan dan penyelidikan aeroangkasa.

Pengerusi Lembaga Pengarah i-CATS Tan Sri Abdul Aziz Husain menyifatkan kerjasama itu sebagai pencapaian penting bagi institusi itu.

“Ia menggariskan visi Sarawak untuk meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam industri teknologi tinggi, sambil memastikan pelajar dan penyelidik kita didedahkan kepada kepakaran dan peluang bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naib Canselor i-CATS, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata kerjasama dengan ITU, yang merupakan peneraju penyelidikan kejuruteraan dan aeroangkasa diiktiraf di peringkat global, mencerminkan komitmen kolej universiti itu untuk memupuk bakat dan memacu inovasi yang akan memberikan manfaat kepada Sarawak dan wilayah sekitarnya.  

Naib Rektor Pendidikan dan Hal Ehwal Antarabangsa ITU, Prof Dr İpek Akın Karadayı berkata universiti itu menghargai kerjasama global kukuh yang membuka pintu untuk pertukaran pengetahuan, penyelidikan lanjutan dan hubungan industri.

“Kerjasama kami dengan Kolej Universiti i-CATS akan mewujudkan peluang berharga kepada pelajar dan fakulti untuk melibatkan diri dalam projek bermakna yang menyumbang kepada sektor aeroangkasa di Turkiye, Sarawak dan seterusnya,” tambahnya.

Kedua-dua institusi menyatakan keyakinan bahawa kerjasama itu akan memupuk inovasi, mengukuhkan pendidikan aeroangkasa dan menyumbang kepada pertumbuhan serantau dalam sektor teknologi tinggi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan