SUKAN

Mohamed Harrif Beri Bayangan Kekal Bersama TSG

27/09/2025 07:37 PM

LANGKAWI, 27 Sept (Bernama) -- Pelumba berbasikal lebuh raya berpengalaman negara Mohamed Harrif Saleh masih belum membuat sebarang keputusan berhubung masa depan kariernya.

Mohamed Harrif atau dikenali sebagai Mamat bagaimanapun memberikan bayangan akan setia bersama Terengganu Cycling Team (TSG), pasukan yang disertainya sejak 2011.

“TSG mungkin menjadi pasukan terakhir buat saya.

“Saya sudah merakamkan pelbagai kenangan bersama TSG, jadi untuk (menyertai) pasukan luar memang tidak ada,” katanya ketika ditanya mengenai masa depannya dalam kancah berbasikal lebuh raya pada sidang media hari ini.

Mohamed Harrif akan membuat penampilan ke-16 pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, yang membuka tirainya di sini esok hingga 5 Okt ini. 

Dalam pada itu, Mohamed Harrif berkata beliau meletakkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya satu peringkat pada edisi kali ini, sambil berharap ia akan dilakukan di kampung halaman sendiri iaitu peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman.

“Setiap peringkat perlumbaan memang ada impian untuk menang tetapi kalau di kampung halaman, bagi saya ia satu bonus. 

“Sebelum ini memang ada azam nak menang di sini tetapi belum ada rezeki lagi,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Mohamed Harrif menjuarai peringkat pada LTdL adalah pada 2019.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan