LANZHOU, China, 27 Sept (Bernama-Xinhua) -- Gempa bumi bermagnitud 5.6 melanda Daerah Longxi di Bandar Dingxi, Wilayah Gansu di barat laut China pada 5.49 pagi Sabtu, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC), lapor Xinhua.
CENC memaklumkan pusat gempa bumi itu, yang berlaku pada kedalaman 10 kilometer, dikesan pada latitud 34.91 darjah utara dan longitud 104.58 darjah timur.
Gegaran kuat dirasai di Daerah Longxi, Zhangxian, Weiyuan dan Lintao di Bandar Dingxi serta Daerah Wushan di Bandar Tianshui.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, menurut kerajaan tempatan. Penduduk tempatan berkata beberapa rumah di kawasan luar bandar Longxi mengalami kerosakan.
Pihak bomba dan penyelamat tempatan telah menghantar pasukan penyelamat serta kenderaan ke kawasan terjejas, dengan maklumat mengenai kesan gempa masih dikumpulkan.
Susulan kejadian itu, Pentadbiran Gempa Bumi China melancarkan tindak balas kecemasan tahap 3, menggesa pemantauan serta penilaian dipertingkatkan dan maklumat dikemas kini dari semasa ke semasa.
Ibu pejabat Pejabat Bantuan Gempa Bumi Majlis Negara dan Kementerian Pengurusan Kecemasan turut memulakan tindak balas kecemasan tahap 4 bagi gempa bumi serta menghantar pasukan kerja ke kawasan terjejas untuk menyokong usaha bantuan pihak tempatan.
Sementara itu, seramai 200 anggota penyelamat bersama 28 kenderaan daripada pasukan bomba dan penyelamat tempatan serta 26 anggota pasukan penyelamat khas dengan tujuh kenderaan sedang dalam perjalanan ke kawasan terjejas.
--BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial