MELAKA, 27 Sept (Bernama) -- Penyediaan Belanjawan Negara 2026 akan disesuaikan dengan keutamaan ekonomi setiap negeri dan bukan hanya ditentukan di peringkat kementerian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pendekatan itu penting, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan lancar tanpa mengabaikan keperluan rakyat terutama dalam menangani kos sara hidup.
“Setiap negeri ada kekuatan tersendiri. Seperti di Melaka, tumpuan diberikan kepada sektor pelancongan dan pembuatan, kerana prestasi negeri ini sangat memberangsangkan,” kata beliau pada sesi libat urus Belanjawan 2026 bersama Pemain Industri Pelancongan dan Pembuatan bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Banda Hilir, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Zamzuri Abdul Aziz.
Perdana Menteri berkata keresahan rakyat akibat kos sara hidup perlu diambil kira, kerana terdapat jurang antara golongan elit dan bawahan.
“Kerana itu pengukuhan ekonomi itu tidak boleh diiktiraf dengan teori ekonomi tradisional, tetapi perlu dikaitkan dengan keperluan dan kebijaksanaan, bagi memastikan masyarakat kita dapat berkembang dan jalan yang diambil adalah munasabah, ringan dan tidak membebankan rakyat,” kata beliau.
Terdahulu sesi libat urus tersebut disertai kira-kira 150 pemain industri pelancongan dan pembuatan selain agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial