DUNIA

PM Anwar Rakam Penghargaan Kepada Itali, Sepanyol Lindungi Konvoi GSF

26/09/2025 11:49 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada kerajaan Itali dan Sepanyol susulan penghantaran kapal perang tentera laut bagi melindungi konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang menuju ke Semenanjung Gaza.

Dalam hantaran di X, Anwar turut mengucapkan kata-kata semangat kepada peserta GSF yang semakin menghampiri destinasi mereka.

“Semoga kekuatan dan kecekalan bersama kalian. Dunia mendukung terus!” katanya.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.

Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.

Mereka merupakan sebahagian daripada aktivis dari 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan terhadap enklaf itu dan cekal berdepan dengan pelbagai rintangan serta ugutan termasuk serangan dron.

Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi itu menerusi sokongan Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan