AM

Inisiatif BUDI95 Untuk Polis, ATM Berjalan Lancar - Saifuddin Nasution

27/09/2025 03:00 PM

SANDAKAN, 27 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi kumpulan pertama melibatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjalan lancar tanpa sebarang masalah, setakat tengah hari tadi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan pada hari pertama ini juga bertindak sebagai ujian tekanan terhadap keupayaan sistem dan stesen minyak yang telah membuat persediaan bagi pelaksanaan BUDI95, menjelang penggunaan lebih meluas pada Selasa ini.

“Kita boleh anggap ini sebagai satu proses untuk menilai keupayaan sistem supaya tidak ada sebarang gangguan.

“Kita akan tengok lagi nanti sebab penggunaan yang lebih besar adalah dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program BUDI95 di sebuah stesen minyak di Jalan Bokara di sini hari ini.

Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter menerusi BUDI95 yang mula dilaksanakan tengah malam tadi.

Selepas anggota tentera dan polis, penerima STR yang merupakan golongan B40 akan menikmatinya pada 28 Sept, diikuti 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif pada 30 Sept ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution berkata sebanyak 13,632 MyKad yang mengalami kerosakan cip direkodkan diganti dalam tempoh lima hari lepas.

“Sebelum saranan untuk rakyat memperbaharui atau menggantikan Mykad rosak, purata rekod penggantian sehari adalah 1,000 orang, namun sejak 21 Sept lepas hingga sekarang, sebanyak 13,632,” katanya.

Beliau berkata jumlah penggantian MyKad yang meningkat itu jelas menunjukkan masyarakat cakna bahawa mereka perlu mendapatkan MyKad yang boleh digunakan untuk penggunaan BUDI95.

Sementara itu, mengulas hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara, Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan proses pemberian kewarganegaraan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 19(1) berkaitan naturalisasi.

Beliau berkata pemberian kewarganegaraan adalah proses yang sangat teliti dan berdasarkan sistem perundangan yang ada.

“Pemberian kewarganegaraan secara naturalisasi berdasarkan Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan boleh dipohon sekiranya pemohon mempunyai salasiah keturunan yang sebelum ini pernah berasal dari Malaysia,” katanya.

FAM bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataan memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan