KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Universiti Sunway dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menganjurkan Rock the Goals 2025 malam tadi bagi menyambut ulang tahun ke-10, 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang telah diterima pakai sejak tahun 2015.
Acara itu menghimpunkan hampir 1,500 pelajar, kakitangan dan tetamu, termasuk wakil PBB, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Kesatuan Eropah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), serta duta dari seluruh dunia.
Presiden dan Naib Canselor Universiti Sunway Profesor Sibrandes Poppema berkata bahawa program itu mencerminkan komitmen universiti terhadap kemampanan dan keterangkuman.
“Kami berasa amat berbangga kerana dapat menjadi tuan rumah kepada sambutan bersejarah ini dengan kerjasama PBB. Tenaga dan semangat para pelajar serta komuniti kami mencerminkan komitmen Sunway terhadap kemampanan dan keterangkuman.
“Rock the Goals 2025 benar-benar menunjukkan bagaimana pendidikan mampu memberi inspirasi kepada tindakan dan membentuk generasi yang bersedia untuk mencapai SDG,” katanya dalam kenyataan Universiti Sunway hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama Penyelaras Residen PBB Malaysia Robert Gass berkata generasi muda perlu memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat sejagat, dengan menyatakan bahawa idea, keberanian dan tindakan mereka menjadi kunci kepada kemajuan.
“10 tahun lepas, dunia telah bersatu dalam menyokong 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), tetapi matlamat ini memerlukan lebih daripada sekadar kerajaan dan PBB, ia memerlukan idea, keberanian dan tindakan anda. Muzik memberi inspirasi, menyatukan dan mengingatkan kita bahawa perubahan itu boleh dilakukan.
“Setiap tindakan, besar atau kecil, membawa kita lebih hampir kepada dunia yang kita impikan. Bersama-sama, kita boleh mencapai SDG. Teruskan rocking the goals,” katanya.
Sambutan itu yang diinspirasikan oleh semangat punk rock, menampilkan pertunjukan fesyen adaptif menggunakan fabrik mampan rekaan pelajar Sunway, diikuti dengan persembahan muzik artis tempatan termasuk kumpulan neurodivergen Zimi’J, vokalis pemenang anugerah “Uriah See” dan “DJ Blink”.
Program itu turut menerima mesej sokongan daripada organisasi dan tokoh berpengaruh termasuk Greenpeace, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, serta ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Michelle Ng dan Wong Chen.
“Prestij malam itu ditingkatkan lagi dengan mesej dari London yang dihantarkan cef terkenal dunia Gordon Ramsay dengan mengucapkan tahniah kepada Universiti Sunway atas usaha cemerlang dalam memajukan SDG dan menyatakan bahawa ‘Sunway, sememangnya sebuah Campus With A Conscience,” menurut kenyataan itu.
Sambutan ini turut mendapat sokongan rakan korporat dan komuniti yang murah hati termasuk Ace Canning, Acer, Biscoff, Dyson, Evenesis, Farm Fresh, MD Events, NattÅme, Marigold Peel Fresh, Red Box dan Sunway Lagoon, yang kesemuanya berkongsi komitmen Sunway terhadap kelestarian.
Pada masa yang sama, Universiti Sunway turut menggesa institusi pendidikan lain untuk menyertai gerakan ini, sambil menekankan bahawa kerjasama, inovasi dan keterangkuman mampu membentuk masa depan yang mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial